TRIPOLI: Ketua kerajaan Libya yang dilantik oleh Dewan Rakyat, Osama Hammad mengumumkan pemecatan seluruh anggota Majlis Perbandaran Derna dan mengarahkan mereka disiasat selepas bandar itu dilanda bencana banjir yang disifatkan terburuk di benua Afrika.
Datuk Bandar Derna, Abdulmenam al-Ghaithi dan majlisnya dituduh tidak cekap dan cuai dalam mengeluarkan perintah jelas untuk mengosongkan bandar itu sebelum dilanda taufan Daniel.
Terdapat juga kesilapan dalam membuka injap di dua empangan bandar itu dan pihak majlis turut dilaporkan gagal memastikan empangan tersebut menerima penyelenggaraan yang diperlukan.
Kegagalan fungsi dua empangan di bandar itu pada peringkat awal dipercayai menyumbang kepada kehilangan besar nyawa yang dianggarkan melebihi 10,000 orang.
SEJARAH DERNA
Derna merupakan sebuah bandar pelabuhan di timur Libya dengan populasi sekitar 85,000 orang.
Bandar itu pernah menjadi pusat kepada salah satu kawasan terkaya di antara wilayah Barbary namun kini menjadi ibu kota pentadbiran daerah yang meliputi kawasan jauh lebih kecil daripada wilayah lama.
Dalam kalangan bandar Libya, Derna mempunyai lokasi dan persekitaran fizikal paling unik kerana terletak di antara Jebel Akhdar yang juga dikenali sebagai Gunung Hijau, Laut Mediterranean dan padang pasir.
Bandar itu juga menjadi tempat tinggal kepada orang-orang daripada pelbagai latar belakang.
Lokasi Pertempuran Derna terkenal pada tahun 1805 dan menjadi tempat kemenangan pertama yang diraih oleh Tentera Amerika Syarikat (AS) di bumi asing.
Pertempuran tersebut melibat kira-kira pasukan 500 Marin AS dan tentera upahan Mediterranean serta kira-kira 5,000 tentera Barbary.
Sebahagian daripada bandar itu diambil alih oleh kumpulan militan pada Oktober 2014.
Pada Jun 2015, Majlis Syura Mujahidin di Derna berjaya mengalahkan kumpulan militan dan menguasai bandar itu, sebelum diusir oleh Tentera Nasional Libya dalam pertempuran pada 2018.
PROTES RAKYAT
Keindahan Derna kini hancur selepas kira-kira satu perempat daripada bandar itu musnah akibat banjir besar yang meruntuhkan dua empangan di atas sungai Wadi.
Protes meletus dengan penduduk tempatan melepaskan kemarahan mereka kepada pegawai, termasuk speaker Parlimen Libya yang berpangkalan di timur, Aguila Saleh di luar Masjid Sahaba.
Video yang tersebar di media sosial menunjukkan penunjuk perasaan memanjat ke kubah emas Masjid Sahaba, sebuah mercu tanda Derna sambil melaungkan slogan anti-kerajaan.
“Wahai tanah airku. Kami akan tinggal di sini sehingga kesakitan hilang,” laung penunjuk perasaan.
Rakyat yang menyertai protes besar-besaran itu meminta pemimpin di seluruh negara bergolak itu untuk bertanggungjawab atas kejadian empangan pecah yang disifatkan boleh dielakkan.
Seminggu selepas bencana melanda, usaha mencari mangsa yang terselamat mula berkurangan, penduduk Derna sedang berhadapan dengan malapetaka baharu, daripada wabak penyakit bawaan air kepada periuk api sesat yang dihujan.
Seorang pegawai kanan Tentera Nasional Libya memberitahu CNN bahawa kawasan tertentu sedang dibersihkan dan dikosongkan atas sebab keselamatan dan kesihatan.-AGENSI