Maghribi digegar tragedi gempa bumi terburuk dalam dua dekad

Maghribi digegar tragedi gempa bumi terburuk dalam tempoh dua dekad

SEORANG penduduk berjalan melalui runtuhan bangunan di Marrakesh, Maghribi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Maghribi digegarkan dengan bencana gempa bumi terburuk dalam tempoh dua dekad yang mengorbankan ratusan nyawa.

Sekurang-kurangnya 820 orang terbunuh selepas gempa bumi kuat berukuran 7.2 magnitud melanda negara itu kelmarin namun angka tersebut dikhuatiri meningkat.

Berdasarkan data yang dikemaskini Kementerian Dalam Negeri, jumlah yang cedera mencecah 600 orang.

Gempa tersebut menyebabkan gegaran dirasai dari bandar Rabat di utara hingga ke Sidi Ifni di selatan negara itu.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), bencana alam itu berlaku sejurus selepas pukul 11 malam (waktu tempatan) Jumaat lalu.

USGS menganggarkan pusat gempa cetek berlaku berhampiran kawasan peranginan ski Oukaimeden di Pergunungan Atlas, kira-kira 75 kilometer (km) dari Marrakesh, bandar keempat terbesar di negara itu.

Bangunan bergegar mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang bergegas keluar dari premis untuk menyelamatkan diri.

Beberapa rakaman video dikongsikan dalam media sosial yang menunjukkan sebuah bangunan roboh dan sisa runtuhan bertaburan di atas jalan.

Terdapat juga rakaman memaparkan orang ramai bertempiaran lari keluar dari pasar raya, restoran dan bangunan pangsapuri dengan puluhan dikejarkan ke hospital.

Sebuah menara masjid dilaporkan tumbang di Dataran Jemaa al-Fna dan kerosakan besar berlaku di bandar lama Medina yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.

Antara wilayah yang terjejas teruk termasuk Al Haouz, Ouarzazate, Azilal, Chichaoua dan Taroudant.

“Berlaku kerosakan besar dan masih ramai yang merasa panik. Kami mendengar jeritan kanak-kanak dan ibu bapa yang ketakutan ketika gegaran berlaku.

“Bekalan elektrik juga terputus. Orang ramai kini memilih tidur di luar kerana khuatir berlaku gegaran susulan.

“Bandar lama ini terdiri daripada rumah-rumah lama. Jika sebuah rumah runtuh, ia akan menyebabkan yang lain turut rebah,” kata seorang penduduk, Abdelhak El Amrani kepada wartawan.

Walaupun gempa bumi di rantau itu pernah berlaku  tetapi magnitud yang besar tidak pernah dilihat di kawasan terdekat sejak lebih 120 tahun.

“Sejak 1900, tidak ada gempa bumi berukuran 6 magnitud atau lebih besar dalam lingkungan 500km dari pusat gempa bumi ini. Gempa yang direkodkan sebelum ini, semuanya sekitar 5 magnitud,” kata USGS

Televisyen Sepanyol RTVE melaporkan, gegaran akibat gempa bumi itu turut dirasai sekitar bandar Huelva dan Jaen di Andalusia,  selatan Sepanyol.

Gempa bumi besar terakhir yang melanda Maghribi berlaku pada 2004, mengorbankan lebih 600 orang.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya