WELLINGTON: Seorang pendaki di New Zealand terselamat dari ajal dengan hanya mengalami kecederaan ringan selepas terjatuh dari kawasan puncak setinggi 600 meter ketika mendaki Gunung Taranaki baru-baru ini.
Polis berkata, lelaki itu jatuh dari kawasan yang agak tinggi namun diselamatkan oleh cuaca musim bunga yang melembutkan ais dan membantunya mendarat di atas salji.
Pendaki itu juga dianggap sangat bertuah kerana masih hidup walaupun jarak yang dilaluinya dalam insiden mengerikan itu menyamai Menara Jam Diraja Mekah di Arab Saudi, salah satu bangunan tertinggi di dunia.
Jelas polis, jarak lelaki itu jatuh juga hampir dua kali ganda bangunan pencakar langit Shard di London.
Menurut BBC, pendaki itu menyertai kumpulan ekspedisi pendakian Gunung Taranaki pada Sabtu lalu sebelum dilaporkan jatuh dari puncak kira-kira tengah hari (waktu tempatan).
“Setelah melihat rakan pendaki mereka meluncur jatuh menuruni gunung dan hilang dari pandangan, seorang lagi anggota kumpulan itu turun untuk mengesannya.
“Seorang anggota pasukan Penyelamat Alpine Taranaki yang juga kebetulan sedang mendaki pada hari sama segera membantu menemukan lelaki yang terjatuh itu,” kata polis.
Menurut Majlis Keselamatan Gunung New Zealand, gunung berapi tidak aktif yang terletak di kawasan terpencil di pantai barat Pulau Utara itu terkenal sebagai salah satu trek pendakian paling berbahaya.
Pada tahun 2021, dua pendaki terkorban selepas terjatuh dari ketinggian yang sama dengan insiden Sabtu lalu.