BEIJING: Seorang lelaki berusia 36 tahun yang obses dengan pemakaian kostum mendapat perhatian warganet di China kerana sering menggayakan fesyen ala Lolita ke tempat kerja setiap hari.
Lelaki yang dikenali sebagai D-Jiang, teruja dengan fesyen Lolita dan Gothic Lolita, malah memilih untuk mengenakan beberapa pakaian wanita di pelbagai acara cosplay.
Tetapi sejak dua tahun lalu, dia sering memakai pakaian itu setiap hari dan menghabiskan masa lebih dua jam untuk bersolek setiap pagi sebelum pergi bekerja.
Isteri D-Jiang yang turut berkongsi minat sama terhadap fesyen Lolita rajin membantunya bersolek malah mereka tidak mempedulikan pendapat orang ramai tentang gaya pakaian aneh itu.
Bekas pengaturcara komputer itu mengakui menggayakan fesyen tersebut sekadar untuk menikmati hidup dengan cara tersendiri selepas kehilangan ramai ahli keluarga tersayang sejak tahun 2019.
“Saya percaya pakaian itu tidak mempunyai jantina. Apabila saya memakai pakaian ini, ia tidak bermakna saya mahu menjadi seperti wanita. Pakaian ini hanya sekadar rupa luaran yang saya gemari.
“Hakikatnya saya masih seorang lelaki tulen. Tetapi apabila saya berpakaian sebegini dalam kehidupan seharian, saya dapat merasai pelbagai kesulitan yang dialami wanita,” katanya.
Fesyen Lolita merupakan sub-budaya dari Jepun yang banyak dipengaruhi oleh pakaian dan gaya Victoria dari zaman Rococo.
D-Jiang dilaporkan memiliki kira-kira 200 koleksi fesyen Lolita, malah mempunyai senarai kekerapan pemakaian setiap busana tersebut.-AGENSI