TOKYO: Seorang lelaki Jepun berumur 39 tahun digelar sebagai ‘trans-usia’ selepas dilaporkan mengenal pasti dirinya sebagai individu lebih muda kerana merasakan usia sebenarnya itu gagal menggambarkan personaliti dirinya yang masih kurang matang.
Lelaki dari Kyoto yang hanya dikenali sebagai Jackie muncul dalam rancangan realiti ABEMA Prime di mana dia menjelaskan tidak lagi berasa selesa sebagai lelaki berusia 39 tahun dan kini memutuskan untuk kekal di umur 28 tahun.
Jackie berkata, dia memilih usia tersebut kerana angka itu memberi keseimbangan yang baik antara menjadi dewasa tetapi masih mempunyai sisi kebudak-budakan tanpa menarik perhatian orang lain untuk menghakiminya.
Ketika tampil dalam program televisyen yang turut menyebabkan namanya tular di media sosial itu, Jackie mendakwa idea untuk menjadi ‘trans-usia’ sebenarnya diilhamkan oleh interaksi dengan majikannya di tempat kerja.
“Ketika berbual tentang kerja, majikan mempertikai mengapa saya masih tidak mampu melakukannya dengan baik pada usia saya. Kata-kata itu membuatkan saya berasa sedih, jadi saya memutuskan untuk mengambil umur yang saya rasa lebih selesa,” katanya.
Kisah Jackie tular di Jepun sejak Mei lalu tetapi konsep trans-usia masih menjadi topik hangat di media sosial sehingga kini.
Walaupun ramai yang mengejek idea aneh memilih umur berbanding menggunakan usia mengikut tarikh kelahiran sebenar, terdapat inidividu yang percaya konsep tersebut mampu menghapuskan pelbagai sekatan, malah boleh menjadikan hidup lebih menyeronokkan.-AGENSI