CANBERRA: Seorang lelaki warga Australia cuba memfailkan saman terhadap sebuah hospital di Melbourne atas dakwaan `membenarkan dan mengalakkannya’ menyaksikan pembedahan caesarean isterinya.
Tindakan pihak pengurusan hospital itu dikatakan menyebabkan Anil Koppula mengalami tekanan mental.
Lapor Oddity Central, kejadian itu berlaku pada Januari 2018 apabila isteri Anil melahirkan bayi menerusi pembedahan caesarean di Royal Women’s Hospital di Melbourne.
Anil dibenarkan masuk ke dalam bilik bedah dan menyaksikan seluruh prosedur dijalani isterinya sehingga didakwa menyebabkannya mengalami gangguan mental.
Kini, Anil cuba memfailkan saman terhadap hospital itu dengan menuntut ganti rugi sebanyak 1 bilion dolar Australia (RM3.01 bilion).
Anil yang mewakili dirinya semasa prosiding undang-undang itu, mendakwa pihak pengurusan hospital melanggar kewajipan untuk menjaganya.
Malah, Anil juga mendakwa tekanan mental yang dialaminya turut menjadi punca keretakan rumah tangganya.
“Anil mendakwa dia digalakkan atau dibenarkan menyaksikan proses bersalin itu.
“Ketika proses itu, dia melihat organ dalaman termasuk isterinya banyak kehilangan darah.
“Anil mendakwa pihak pengurusan hospital melanggar kewajipan untuk menjaganya dan bertanggungjawab membayar ganti rugi kepadanya,” jelas dokumen dikemukakan di mahkamah.
Sementara itu, Royal Women’s Hospital mengakui pihaknya mempunyai kewajipan untuk menjaga Anil.
Namun, pengurusan hospital itu menegaskan pihaknya tidak sama sekali melanggarnya.
Royal Women’s Hospital mendakwa wanita mengandung dibenarkan membawa pasangan atau ahli keluarga mereka di dalam bilik bedah sebagai sokongan ketika menjalani pembedahan caesarean.
Malah, jelas pengurusan hospital, mereka juga diberi amaran mengenai butiran prosedur dan diminta untuk tidak mengganggunya dalam apa cara sekalipun.