Lebih separuh penduduk dunia berbelanja lebih bayar hutang

Lebih separuh penduduk dunia berbelanja lebih bayar hutang

DENNIS FRANCIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lebih separuh daripada manusia atau menyamai kira-kira 3.3 bilion orang kini dilaporkan tinggal di negara yang membelanjakan lebih banyak untuk membayar hutang berbanding kesihatan, pendidikan atau perlindungan sosial.

Presiden Perhimpuna­n Agung Pertubuhan Bangsa-Bang­sa Bersatu (UNGA) Ke-78,
Dennis Francis ketika berucap menekankan bahawa seni bina kewangan semasa gagal dalam menggerakkan pembiayaan stabil, saksama dan mampu bertahan untuk jangka panjang yang diperlukan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.

Perkara itu ditekankan semasa Dialog Peringkat Tinggi PBB mengenai Pembiayaan Pembangunan di New York yang membincangkan penyelesaian praktikal untuk menangani jurang pembiayaan antara negara maju dan membangun.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, kira-kira 40 peratus negara membangun kini dilaporkan berdepan masalah hutang yang teruk.

Jelasnya, jurang pembiayaan antara kumpulan global selatan dan utara menyebabkan negara membangun menjadi mangsa ‘perangkap hutang’ yang menghalang aktiviti pembangunan.

“Negara membangun menghadapi kos pinjaman sehingga lapan kali ganda lebih tinggi daripada negara maju. Lebih 40 peratus orang yang hidup dalam kemiskinan tegar berada di negara yang menghadapi cabaran hutang yang teruk ini,” katanya.

Menyedari keperluan untuk tindakan segera, Guterres menyeru pembaharuan kepada seni bina kewangan global untuk menangani masalah pembiayaan bagi pembangunan mampan dan penyelesaian sistemik yang turut dialu-alukan oleh semua negara anggota.

“Algoritma masa lalu tidak lagi berfungsi di dunia hari ini

“Institusi kewangan diwujudkan 80 tahun lalu, dan ketika itu ramai ahli PBB hari ini belum lagi merdeka. Dunia sudah berubah dan cabaran juga berbeza, jadi institusi kita juga mesti berubah atau terus ketinggalan dalam debu sejarah,” kata Presiden Majlis Eropah, Charles Michel yang bersetuju dengan Gutteres.

Memetik cabaran berkaitan hutang yang sedang dihadapi oleh negara membangun, Ketua Bank Pembangunan Islam, Mohammed Al-Jasser dalam ucaptamanya menggesa mobilisasi lebih banyak sumber, terutamanya dalam bentuk konsesi.

Katanya, ini kerana 29 daripada 57 negara anggota PBB masih kurang maju dan tidak mampu membayar banyak pembiayaan yang tersedia.

“Pembayaran hutang di beberapa negara Afrika adalah kira-kira 5.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar mereka, manakala hanya 3.7 peratus dibelanjakan untuk pendidikan.

“Justeru, kami memerlukan sesuatu yang lebih mampan oleh masyarakat dunia. Saya fikir multilateralisme pertama perlu benar-benar dipulihkan sebagai prinsip panduan semua operasi.” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya