WASHINGTON: Seorang lelaki berusia 58 tahun menjadi pedakit kedua di dunia yang menerima pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik.
Pemindahan organ haiwan kepada manusia yang dipanggil xenotransplantation, boleh menawarkan penyelesaian kepada masalah kekurangan pendermaan organ manusia.
Lebih 100,000 rakyat Amerika Syarikat (AS) kini dalam senarai menunggu untuk menerima pemindahan organ.
Kedua-dua prosedur pemindahan jantung itu dilakukan kumpulan pakar dari Pusat Perubatan Universiti Maryland, dengan pesakit pertama meninggal dua bulan selepas pemindahan dilakukan pada tahun lalu.
Menerusi kenyataan, pusat perubatan itu memaklumkan, kematian pesakit pertama tersebut disebabkan banyak faktor termasuk keadaan kesihatannya yang lemah sebelum pembedahan berlangsung.
Menerusi pembedahan terbaharu yang berlangsung pada Rabu lalu, pesakit kedua, iaitu Lawrence Faucette tidak dapat menerima jantung manusia kerana penyakit vaskular yang dihadapinya, selain komplikasi pendarahan dalaman.
Pakar menjelaskan, tanpa melakukan pemindahan percubaan, bapa kepada dua anak itu hampir pasti berdepan masalah kegagalan jantung.
“satu-satunya cara yang adalah dengan melakukan pemindahan jantung menggunakan jantung babi dan saya berharap prosedur itu berjalan lancar serta saya juga mempunyai harapan untuk pulih,” kata Faucette sebelum pembedahan.
Dalam pada itu, pusat perubatan berkenaan memaklumkan, selepas pembedahan selesai, Faucette mampu bernafas sendiri dan jantung baharunya berfungsi dengan baik tanpa sebarang bantuan daripada mesin sokongan.
Penyelidikan xenotransplantasi awal tertumpu kepada penggunaan organ daripada primat, contohnya, jantung beruk dipindahkan kepada bayi yang baru lahir dikenali sebagai ‘Baby Fae’ pada 1984, namun bayi itu bertahan hanya 20 hari.
Usaha semasa memberi tumpuan kepada babi, yang dianggap sebagai penderma yang secocok untuk manusia kerana saiz organnya, pertumbuhan pesat dan cepat membiak selain ia sudah diternak secara besar-besaran sebagai sumber makanan. – AFP