MANILA: Dalam rakaman kamera yang kabur, seorang anggota pengawal pantai Filipina dilihat terjun ke perairan Laut China Selatan dan bersedia untuk melaksanakan arahan Presiden negara itu memotong wayar sekatan yang dipasang di kawasan berkenaan.
Pengawal pantai yang menyamar sebagai nelayan dilihat terus memotong seutas tali.
BINA PENGHADANG
Video yang dirakam Isnin lalu berhampiran kawasan Scarborough Shoal yang menjadi pertikaian sengit, menunjukkan misi Filipina untuk mengeluarkan alat disifatkan sebagai penghadang terapung berbahaya yang dipasang oleh pengawal pantai China.
Tali tersebut didirikan untuk memutuskan akses kepada bot Filipina.
Filipina mendakwa China melanggar undang-undang antarabangsa namun Beijing mempertahankan tindakan pemasangan tali penghadang tersebut sebagai langkah profesional dan terkawal.
Philippe Sands KC yang bertindak sebagai peguam untuk Filipina dalam kes tribunal 2016 berkata, tuntutan terhadap kawasan itu adalah muktamad dan tiada sebarang usaha politik, diplomatik atau ekonomi yang boleh menolak realiti undang-undang tersebut.
“Adalah sangat adil untuk membuat kesimpulan bahawa usaha membina ciri maritim seperti halangan terapung berhampiran Scarborough Shoal adalah sesuatu yang jelas salah di bawah undang-undang antarabangsa,” tegasnya.
Selepas misi mengalihkan halangan yang mengganggu akses ke Scarborough Shoal minggu ini, jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Cdr Jay Tarriela memberitahu CNN Filipina bahawa negara itu secara konsisten akan melaksanakan apa sahaja yang diperlukan untuk mengekalkan kehadiran di kawasan berkenaan.
“Kami percaya tidak mungkin China akan merendahkan pendiriannya. Tetapi akan tiba masanya apabila taktik kawalan di zon kelabu itu dan kejayaan yang datang bersamanya pada masa lalu akan berjalan dengan lancar. Persoalannya ialah apa yang akan dilakukan China seterusnya?” katanya.
TAKTIF AGRESIF
Penyelidikan oleh Inisiatif Ketelusan Maritim Asia di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa mendapati kehadiran pengawal pantai China semakin kerap sejak tahun lalu dan mengekalkan rondaan hampir setiap hari di ciri-ciri utama merentasi laut.
“Sebaliknya, apa yang kita lihat berlaku ialah mereka mempunyai kempen kehadiran yang lebih hebat dengan menggunakan ciri buatan sedia ada terutamanya pelabuhan untuk memajukan pasukan mereka.
“Kapal-kapal mereka menyerbu ciri-ciri utama atau ditambat untuk mewujudkan ‘pos terapung’,” kata Felo Inovasi Keselamatan Negara Universiti Stanford, Raymond M. Powell.
Rakaman tersebut merupakan episod terbaharu pertikaian yang semakin memuncak mengenai Laut China Selatan dan dijangka menyemarakkan api konfrontasi antara China dan Amerika Syarikat (AS).
Manila yang merupakan sekutu AS berulang kali menuduh Beijing melakukan taktik berbahaya dan agresif di Laut China Selatan, termasuk dakwaan bahawa China mengarahkan laser gred tentera dan meriam air ke arah kapal Filipina ketika mereka melalui zon ekonomi eksklusif negara.
“Risiko salah perkiraan semakin tinggi kerana peningkatan kehadiran China. Tidak mustahil jika China berperang dahulu dengan Asia Tenggara berbanding Taiwan kerana isu ini.
“China bercita-cita untuk mewujudkan penampan keselamatan di sekitar pantainya,” kata Peguam dan Profesor Universiti Filipina, Jay L. Batongbacal.
Beijing sebelum ini menolak tanggapan bahawa tindakannya adalah pencerobohan dan mendakwa menyokong dialog dengan Filipina.
Pertikaian mengenai Laut China Selatan berlarutan selepas China mendakwa mempunyai tuntutan bersejarah ke atas terumbu dan batu yang menghiasi perairan tersebut walaupun tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan ia tidak mempunyai sebarang asas undang-undang.
China berulang kali dan secara terbuka menolak keputusan The Hague walaupun Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan mempunyai tuntutan terhadap kawasan itu.
Felo Kanan Institut Pertahanan dan Kajian Strategik Universiti Teknologi Nanyang Singapura, Collin Koh berkata, China kini menempatkan kebanyakan kapal selam peluru berpandu balistik nuklearnya di Pulau Hainan.
“Laut China Selatan juga dipercayai menjadi benteng penghalang nuklear berasaskan laut bagi China.
“Di sinilah China akan dapat mengunjurkan apa yang kita panggil keupayaan serangan kedua terhadap musuh yang berpotensi seperti AS dan India,” jelasnya.