KYIV: Bandar Kyiv dilaporkan diserang dron Russia awal pagi tadi dan serpihannya jatuh di beberapa daerah, lapor pegawai Ukraine.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas lebih 10 letupan kedengaran di ibu negara dan siren serbuan udara memberi isyarat bahawa penduduk perlu berlindung.
Ketua Pentadbiran Tentera Kyiv, Serhiy Popko berkata, serpihan tersebut mencetuskan kebakaran di sebuah bangunan kediaman tetapi berjaya dipadamkan.
Pihak berkuasa bandar menyenaraikan daerah yang terjejas termasuk Podilskyi, Sviatoshynskyi dan Shevchenkivskyi, kesemuanya terletak di dalam atau berhampiran pusat bandar.
Sistem pertahanan udara Kyiv terbukti berkesan untuk menjatuhkan kebanyakan dron dan peluru berpandu Russia yang menyasarkan bandar itu.
Popko berkata, kira-kira 20 serangan dron Shahed buatan Iran berjaya dipatahkan selepas terbang melintasi Kyiv dalam kumpulan dari beberapa arah.
Kebanyakan serpihan jatuh di tanah terbuka menyebabkan beberapa kereta dan bas rosak.-AGENSI