JAKARTA: Pemantauan kualiti udara terkini di Indonesia khususnya di Jabodetabek menunjukkan keadaan terbaik di kawasan itu sebenarnya dilihat pada sebelah petang dan bukannya waktu pagi seperti yang difahami ramai penduduk.
Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin berkata, zarah jerebu 2.5 mikron atau PM 2.5 mula rendah pada sebelah petang hingga menjelang malam di sekitar Jabodetabek yang melibatkan Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi.
Sebaliknya pada sebelah pagi, partikel halus yang mampu meresap masuk ke paru-paru itu akan berkembang dan meningkat di kawasan berkenaan apabila matahari semakin panas.
“Saya pun baru tahu. Kalau kita rasa udara paling bersih pada waktu pagi, itu satu kesilapan besar. Ternyata PM 2.5 paling bersih ialah dari pukul 4 hingga 5 petang,” kata Budi dalam mesyuarat di Kompleks Parlimen Senayan.
Justeru, Budi merayu penduduk Jabodetabek supaya memilih waktu bersenam pada sebelah petang berbanding waktu pagi.
“Kalau mahu berlari, jangan di waktu pagi, larilah menjelang petang. Ini data sebenar,” katanya.
Menurut Budi, Indonesia ketika ini mempunyai sejumlah 674 peranti yang akan dipasang di beberapa titik panas bagi membantu kerajaan mendapatkan data tepat pada masa nyata berhubung keadaan kualiti udara di kawasan itu.
Beliau turut menyarankan agar kerajaan memaksimumkan penggunaan alat lain bagi mengenal pasti punca bahan pencemaran supaya kementerian bertanggungjawab tidak tersalah arah ketika membuat keputusan berhubung masalah tersebut.-AGENSI