Komited stabilkan harga, Indonesia tingkat import beras

Komited stabilkan harga, Indonesia tingkat import beras

SEJUMLAH beras yang diimport dari Thailand dibawa keluar dari kapal kargo di Pelabuhan Malahayati di Aceh, Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia merekodkan peningkatan mengimport bekalan beras dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Harga beras global dilaporkan meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun pada minggu lalu selepas pengeluar beras utama dunia, India melarang mengeksort bekalan beras bukan basmati untuk menjamin bekalan di negaranya.

Indonesia mengimport sebanyak 1.59 juta tan beras dari Januari hingga Ogos tahun ini, menurut Ketua Jabatan Statistik Indonesia, Amalia Adininggar Widyasanti, manakala lebih 429,000 tan beras diimport sepanjang tahun lalu.

“Beras yang diimport dari Januari hingga Ogos tahun ini sebenarnya lebih besar berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya kepada media tempatan.

Kebanyakan beras yang diimport Indonesia datang dari negara jiran seperti Thailand dengan 802,000 tan beras dan Vietnam (674,000 tan).

Kerajaan Indonesia sebelum ini menetapkan kuota import sebanyak 2.3 juta tan beras pada tahun ini bagi mengekalkan kestabilan harga susulan gangguan pengeluaran bekalan akibat fenomena El Nino.

Namun, Presiden Joko Widodo (Jokowi) menyifatkan proses import beras ketika ini merumitkan.

“Indonesia mahu mengukuhkan rizab strategik beras, namun proses mengimport ketika ini semakin sukar, sudah tidak seperti dulu,” ujarnya.

Pada Khamis lalu, Jokowi mengarahkan syarikat logistik milik kerajaan iaitu Bulog supaya mengeluarkan rizab ke pasaran bagi menurunkan harga beras.

Harga beras di seluruh Indonesia secara purata adalah 14,490 rupiah (RM4.42) sekilogram sehingga kelmarin.

Harga itu meningkat sebanyak 16 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya