ROM: Ketua mafia yang paling dikehendaki di Itali, Matteo Messina Denaro yang diberkas pada Januari selepas menjadi pelarian selama 30 tahun meninggal dunia, agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan agensi berita Itali ANSA pada Isnin.
Ketua Mafia Cosa Nostra Sicily berusia 61 tahun itu menghidap kanser kolon dan dilaporkan dalam keadaan koma sejak Jumaat lalu.
Pada awal Ogos, Mafioso menjalani pembedahan usus di Hospital San Salvatore di L’Aquila.
Selepas pembedahan itu berjaya, kanser kolon pula menyebabkan kemerosotan kesihatannya, ANSA memetik sumber sebagai berkata.
Ketua Mafia yang paling dikehendaki, ditangkap oleh unit polis khas di sebuah klinik kanser di Palermo ketika sedang menjalani rawatan dengan nama palsu.
Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kehadiran kerana peranannya dalam siri pembunuhan kejam dan pengeboman kereta di Itali.
Dia didapati bersalah atas kes pengeboman kereta 1992 yang membunuh pendakwa anti-Mafia Giovanni Falcone dan Paolo Borsellino.