WASHINGTON: Produk keperluan harian seperti ubat gigi, serbuk pencuci dan deodoran kini berada di rak berkunci di kedai-kedai runcit di Amerika Syarikat (AS) akibat kes kecurian yang semakin meningkat ketika pengguna bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi di negara itu.
PENINGKATAN KES KECURIAN
Peruncit di AS melaporkan kenaikan mendadak kes kecurian sejak beberapa bulan lalu di samping peningkatan keganasan yang membimbangkan.
Peruncit utama Walmart, Target, rangkaian kedai ubat CVS dan Walgreens serta firma pembaikan rumah Home Depot adalah antara syarikat yang menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes kecurian termasuk insiden keganasan dalam data hasil pendapatan terkini mereka.
“Jenayah runcit yang teratur dan kecurian secara umum, adalah isu yang semakin serius yang memberi kesan kepada banyak peruncit.
“Kes kecurian memberi impak besar ke atas inventori syarikat pada kedua-dua keputusan suku kedua dan jangkaan bagi baki tahun ini,” kata Ketua Eksekutif Dick’s Sporting Goods, Lauren Hobart.
Kebanyakan kedai dan perusahaan runcit dilaporkan terpaksa memasang dinding lutsinar dengan kunci pada rak barangan termasuk rantai berkunci pada peti barangan sejuk beku untuk mengurangkan kes kecurian dan meletakkan butang panggilan kecemasan kepada kakitangan.
Pengguna dalam talian turut melaporkan lebih banyak insiden ‘rompakan kilat’ di mana kumpulan besar menceroboh masuk ke kedai, merampas barang yang boleh dicapai sebelum melarikan diri.
Menurut polis, pada 12 Ogos di sebuah kedai Nordstrom di Los Angeles, kira-kira 30 orang bertopeng mencuri barangan mewah bernilai lebih AS$300,000 (RM1.3 juta) selepas menggunakan semburan pada seorang pengawal keselamatan.
ALAMI KERUGIAN
Menurut tinjauan keselamatan Persekutuan Runcit Kebangsaan 2022, peruncit di AS kehilangan anggaran AS$94.5 bilion (RM439 bilion) di seluruh negara akibat kehilangan inventori melibatkan faktor termasuk kecurian oleh pelanggan atau kakitangan selain kesilapan pentadbiran.
“Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kedai kami menyaksikan peningkatan 120 peratus dalam insiden kecurian yang melibatkan keganasan atau ancaman keganasan.
“Pasukan kami terus menghadapi jumlah kecurian dan jenayah runcit yang tidak boleh diterima,” kata Ketua Eksekutif Target, Brian Cornell dalam taklimat berasingan.
Cornell berkata, kehilangan inventori jauh melebihi kadar stok mampan dalam jangka masa panjang.
Keadaan itu berlaku ketika penggubal dasar berusaha untuk mengekang inflasi selepas kadar faedah melonjak kepada sekitar 5.5 peratus dalam tempoh 18 bulan yang merupakan paras tertinggi dalam tempoh 22 tahun di negara itu.
Kos pinjaman yang lebih tinggi turut menyukarkan syarikat mengembangkan perniagaan mereka dengan golongan pengguna turut merasai tekanannya.
Syarikat Walgreens dilaporkan menutup lima premisnya di San Francisco akibat kes kecurian yang tinggi manakala Walmart menutup empat cawangan di Chicago tahun ini kerana gagal mendapat keuntungan.
“Penyusutan kadar keuntungan meningkat sedikit tahun ini berbanding tahun lepas. Ia tidak sekata di seluruh negara
“Kami tidak mahu masalah ini terus meningkat dengan jelas kerana ia boleh menyebabkan harga barangan turut meningkat,” kata Ketua Pegawai Kewangan Walmart, John Rainey.-AFP