RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kelmarin menegaskan keamanan di Asia Barat tidak boleh dicapai selagi tiada jaminan terhadap rakyat Palestin.
Agensi berita Anadolu melaporkan, Mahmoud menyataka perkara itu ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York.
Beliau turut memberi amaran kepada Israel supaya tidak menjadikan perjuangan politiknya kepada ‘perselisihan antara agama’, merujuk kepada pencerobohan serta pencabulan terhadap kesucian agama Islam di Baitulmuqaddis.
“Israel sudah banyak kali melanggar resolusi PBB yang berkaitan dan mengetepikan Perjanjian Oslo, namun kami (Palestin) masih menaruh harapan anda akan mengambil keputusan untuk mengakhiri penindasan, penjajahan Israel di tanah kami,” katanya.
Selain itu, Mahmoud juga menggesa Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres membuat persiapan bagi mengadakan persidangan damai antarabangsa untuk proses damai antara Palestin-Israel yang terhenti sebelum ini kerana ‘dasar Israel’.
Jelas beliau, persidangan itu mungkin ‘peluang terakhir’ untuk memastikan penyelesaian dua negara menjadi kenyataan, selain bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.
Dalam pada itu, Mahmoud menuntut langkah praktikal bagi mengiktiraf negara Palestin dan mempunyai keahlian penuh dalam PBB.
Ketegangan semakin memuncak di Tebing Barat sejak beberapa bulan lalu, menyaksikan tentera Zionis berulang kali menyerbu bandar-bandar Palestin dan melepaskan tembakan.
Rundingan damai antara Palestin dan Israel terhenti sejak April 2014 selepas Tel Aviv enggan menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi dan membebaskan tahanan Palestin.