JAKARTA: Indonesia memberi jaminan bekalan beras di negara ini mencukupi untuk menampung keperluan rakyat biarpun terdapat sekatan eksport daripada beberapa negara pengeluar.
Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan berkata, sehingga kini, Indonesia mempunyai kira-kira 1.6 juta tan stok beras sedia ada dan dijangka menerima 400,000 tan lagi bekalan dalam tempoh terdekat.
“Kita ada bekalan sebanyak 1.6 juta tan beras dan ia adalah jumlah yang banyak, jadi kita tidak perlu risau sama ada bekalan itu mencukupi atau tidak,” katanya.
Selain itu, Zulkifli menyatakan biarpun bekalan mencukupi, namun import beras ke negara ini masih diperlukan dan sudah mendapatkan dua juta tan stok dari luar termasuk tambahan 400,000 tan.
“Kita masih perlu import beras, tidak kira berapa jumlahnya dan secara asasnya, kita sudah memperoleh stok sebanyak dua juta tan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zulkifli juga memaklumkan, kerajaan membuat ketetapan untuk mengagihkan bantuan beras sebanyak 10 kilogram kepada lebih 20 juta keluarga penerima bermula bulan ini sehingga November.
Katanya, inisiatif itu akan dilaksanakan secara besar-besaran berikutan Indonesia mempunyai stok beras yang banyak buat masa ini.
Sebelum ini, Presiden Joko Widodo (Jokowi) memaklumkan sebanyak 19 negara, termasuk India mengenakan sekatan malah mengharamkan eksport beras, sekali gus menyebabkan peningkatan harga beras di seluruh dunia.
Negara eksport mengehadkan bekalan beras ke luar untuk memastikan keselamatan makanan domestik.
Sehubungan itu, Indonesia sedang meneroka kerjasama mengimport beras dari beberapa negara seperti Kemboja, Bangladesh dan China bagi menstabilkan harga serta memastikan bekalan beras bagi kegunaan domestik mencukupi.