TALLAHASSEE: Pasangan kembar berusia empat tahun dari Amerika Syarikat (AS) maut akibat sesak nafas ketika tidur di dalam peti mainan kayu yang digunakan untuk menyimpan haiwan boneka mereka.
Aurora dan Kellan dilaporkan masuk ke dalam peti itu ketika bermain pada waktu tengah malam di rumah mereka di Jacksonville, Florida 25 Ogos lalu tanpa disedari keluarganya.
Insiden tragis itu disedari abang mereka yang awalnya menyangka dua adik perempuannya masih tidur dalam keadaan saling berpelukan di dalam peti berkenaan.
Ketua Eksekutif Amanah Pencegahan Kemalangan Kanak-Kanak, Katrina Phillips berkata, kejadian tersebut merupakan satu tragedi ngeri dan menyeru golongan ibu bapa untuk sentiasa memeriksa bekas menyimpan mainan anak-anak.
“Ini adalah tragedi yang mengerikan dan kami amat bersimpati dengan keluarga mangsa. Kepada ibu bapa, luangkan sedikit masa untuk memeriksa tahap keselamatan dan betapa mudahnya membuka peti mainan anak anda.
“Mungkin peti itu boleh terbuka dengan mudah tetapi mungkin terdapat masalah dengan penutup kayu yang berat. Ajarlah anak-anak kamu untuk tidak memanjat atau duduk di dalam perabot yang sempit tanpa pengudaraan yang baik,” katanya kepada Mail Online.
Ibu pasangan kembar berkenaan, Sadie Myers turut memberi amaran kepada ibu bapa bahawa peti mainan kayu menjadi kedap udara dan kalis bunyi apabila ditutup malah menggesa orang ramai untuk tidak menggunakannya.
“Sesuatu yang saya mahu ingatkan ialah kebanyakan peti kayu yang boleh ditutup kedap udara dan juga kalis bunyi hingga kita tidak sedar tentang perkara buruk yang boleh berlaku.
“Walaupun amat menyakitkan, saya harap kejadian ini dapat membuka ibu bapa dan saya nasihatkan jika anda mempunyai peti untuk menyimpan mainan seperti ini, lebih baik memusnahkannya atau buang dengan segera!” katanya.