WASHINGTON: Populasi rusa yang semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS) mencetus kebimbangan ramai penduduk terutama di bandar-bandar besar di sekitar Washington.
Bagi segelintir masyarakat, melihat haiwan itu di tengah-tengah bandar seakan pemandangan ajaib.
Tetapi populasi rusa yang sering digelar ‘Bambi’ seperti karakter filem terkenal Walt Disney itu kini dianggap sebagai haiwan perosak kerana memakan tanaman penduduk, membahayakan lalu lintas dan menyebarkan penyakit bawaan kutu.
Selepas hampir pupus akibat penebangan hutan yang berleluasa dan pemburuan berlebihan pada abad ke-19, populasi rusa kini dilaporkan meningkat mendadak di seluruh AS.
Anggaran terkini menunjukkan bilangan haiwan tersebut melebihi 30 juta dengan kebanyakannya membiak di sepanjang pantai timur.
Menurut Ahli Botani, Ana Chuquin, akibat ketiadaan pemangsa semulajadi, rusa ekor putih memakan banyak spesies tumbuhan asli dan anak pokok yang penting dalam menyuburkan kepelbagaian biologi tempatan serta pemuliharaan hutan.
“Dalam erti kata lain, hutan simpan di tengah bandar seperti Rock Creek Park di Washington mungkin lenyap dalam tempoh kurang seratus tahun jika jumlag rusa terus bertambah di kawasan itu.
“Rusa juga gemar memakan tumbuhan asli di rantau ini. Itu satu berita buruk kerana spesies serangga tempatan bergantung pada tumbuhan asli dan kesan kehilangannya meningkat melalui siratan makanan, sekali gus membahayakan ekosistem yang lebih luas,” jelasnya.
Penduduk Great Falls Virginia, Taylor Chamberlin turut melancarkan usaha memburu dengan bantuan penduduk akibat perkembangan populasi haiwan itu yang semakin tidak terkawal di kawasan kejiranannya.
“Rusa di kawasan kami sangat banyak sehingga musim memburu tidak pernah berakhir. Sebahagian daging rusa hasil buruan kami dihantar ke bank makanan,” katanya.-AFP