Kebakaran Iraq: Bau daging hangus di lokasi kejadian

Kebakaran Iraq: Bau daging hangus di lokasi kejadian

MAYAT mangsa maut dalam kebakaran di majlis perkahwinan di bandar utara Qaraqosh, Iraq. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Seorang mangsa terselamat dalam kejadian kebakaran dalam sebuah majlis perkahwinan di Iraq yang mengorbankan ratusan nyawa, menggambarkan pengalaman dilaluinya bagai dalam ‘neraka’.

Pasangan pengantin baharu, Haneen dan Revan dikhuatiri terbunuh bersama sekurang-kurangnya 114 tetamu selepas kebakaran dipercayai tercetus setelah bunga api dinyalakan, memusnahkan dewan besar yang terletak di bandar utara Qaraqosh berdekatan Mosul.

Kanak-kanak seawal usia lapan bulan, selain seluruh ahli keluarga termasuk sepasang suami isteri bersama anak kecil berusia tiga tahun antara yang terkorban dalam kebakaran itu.

Lapor Daily Mail, mangsa dikenali sebagai Mariam Khedr menggambarkan situasi dilaluinya ketika insiden kebakaran itu bagai dalam neraka.

“Ini bukan majlis perkahwinan, ini adalah neraka,” katanya sambil menangis ketika menunggu pihak berkuasa menyerahkan mayat anak perempuan dan tiga cucunya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 114 orang disahkan meninggal dunia dan lebih 200 lagi cedera
dalam tragedi kebakaran itu.

Beberapa mangsa terselamat mengakui ramai orang terperangkap dalam dewan terbakar itu kerana tidak dapat lihat dengan jelas disebabkan asap hitam memenuhi ruang bangunan, selain bau daging hangus memenuhi ruang sekitar.

Dalam pada itu, seorang wanita memaklumkan dia kehilangan tiga ahli keluarganya sekelip mata dalam kebakaran.

“Saya kehilangan anak perempuan, menantu dan anak mereka yang berusia 3 tahun. Mereka semua rentung dalam kebakaran.

“Hati saya luluh dan menggigil apabila dimaklumkan mengenai insiden itu. Saya tidak sanggup melihat keadaan mereka,” katanya yang menunggu di luar bilik mayat.

Sementara itu, seorang mangsa terselamat bernama Youssef memberitahu dia mengalami lecur di tangan dan mukanya.

Katanya, dia tidak dapat melihat dengan jelas ketika kebakaran tercetus dan bekalan elektrik terputus.

Menurut Youssef, dia sempat menyelamatkan cucunya berusia tiga tahun dan berjaya keluar dari dewan terbakar itu.

“Namun, isteri saya, Bashra Mansour tidak sempat meninggalkan dewan itu. Dia terperangkap dan meninggal dunia dalam insiden itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN