HONOLULU: Seramai 66 orang dilaporkan masih hilang ketika operasi mengeluarkan serpihan dari insiden kebakaran hutan mengerikan yang melanda Hawaii bulan lalu diteruskan.
Gabenor Hawaii, Josh Green berkata, angka kematian rasmi yang direkodkan akibat kebakaran pada 8 Ogos di Pulau Maui itu masih kekal 115 sejak dua minggu lalu dengan ribuan harta musnah teruk.
Menurut Jabatan Polis Maui, daripada jumlah tersebut, hanya 60 mangsa yang berjaya dikenal pasti kerana pihak berkuasa berdepan kesukaran mengesan identiti mayat yang sudah rentung.
Waris turut mengadu mengalami masalah mengebumikan ahli keluarga mereka yang disahkan meninggal dunia kerana mayat mangsa hanya akan diserahkan selepas pegawai memastikan kawasan terjejas dibersihkan.
Usaha mendapatkan sijil kematian mangsa juga mungkin memakan masa berbulan-bulan dan menyukarkan keluarga menyelesaikan proses tuntutan insuran serta bantuan lain.
Penduduk yang terselamat juga masih dilarang untuk memasuki kawasan kebakaran dan meninjau keadaan rumah serta perniagaan mereka.
Bagaimanapun, Green berkata, penduduk dan pemilik perniagaan akan dibenarkan masuk ke zon kebakaran menerusi lawatan berjadual yang diawasi dalam tempoh beberapa hari lagi.
“Kami diberitahu abu dan asap di kawasan ini sangat bertoksik, jadi kami perlu berhati-hati.
“Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS dan Kor Jurutera Tentera AS kini mengetuai penyingkiran serpihan toksik dari Lahaina. Usaha pembersihan mungkin mengambil masa setahun dan menelan belanja kira-kira AS$1 bilion (RM4.6 bilion).
Menurut Green, lebih 6,000 mangsa yang terselamat masih berteduh di bilik hotel dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan kini sedang menyediakan geran perumahan serta bantuan sewa kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal.-REUTERS