RABAT: Dengan banyak jalan masih tidak dapat dilalui akibat tanah runtuh, sejumlah penduduk kampung di Maghribi mula memindahkan barangan bantuan menggunakan keldai untuk dihantar ke kawasan yang sukar diakses.
Hal ini kerana, ramai mangsa gempa mengadu bantuan kerajaan terlalu perlahan dan ‘sangat sedikit’ sehingga tidak mencukupi untuk keperluan mereka.
Gempa bumi sekuat 6.8 skala Richter yang menggegarkan Pergunungan Tinggi Atlas pada Jumaat lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 2,901 orang dengan 5,530 cedera.
Di tepi sebatang jalan, Iydouhmad Mohamed, 42, menyusun barangan keperluan asas untuk dibawa ke kampungnya dan kawasan itu hanya boleh diakses dengan menunggang keldai.
Sehingga kini, tiada pasukan kerajaan dapat memasuki kampung tersebut sejak gempa berlaku.
“Kami amat perlukan khemah kerana apa yang ada ketika ini sangat tidak mencukupi. Orang tua dan kanak-kanak tidur di luar dan hanya menggunakan selimut.
“Sangat ramai orang maut di kampung saya dengan ada keluarga kehilangan sehingga 15 ahli keluarga sekali gus,” katanya.
Bentuk muka bumi kawasan terjejas, ditambah lagi dengan kemusnahan yang berlaku, pasukan kecemasan sukar menghulurkan bantuan segera dengan kuantiti yang besar.
“Di sini tiada jalan dan tiada penduduk yang boleh mengalihkan batuan besar yang runtuh akibat gempa lepas.
“Hari ini merupakan hari keenam selepas gempa dan kami masih tidur di luar berbumbungkan langit,” kata Abdallah Houssein, 40 dari perkampungan Zawiyate.
Keadaan serupa juga berlaku di beberapa kampung lain yang turut terjejas dengan kebanyakan mangsa mengeluh mengenai bantuan yang dijanjikan kerajaan. – REUTERS