WASHINGTON: Berjuta-juta penjawat awam dan anggota tentera yang masih berkhidmat di Amerika Syarikat (AS) dikhuatiri tidak akan menerima gaji lagi sekiranya penutupan kerajaan berlaku pada minggu ini.
Sebahagian besar taman negara dan muzium juga mungkin akan ditutup, serta lapangan terbang di seluruh AS dijangka mengalami gangguan dan kelewatan penerbangan.
Malah, kebanyakan program Persekutuan penting antaranya keselamatan makanan, dana penjagaan kanak-kanak dan bantuan bagi mangsa kebakaran hutan di Maui mungkin tidak dapat menawarkan sokongan diperlukan dengan segera.
Pada 1 Oktober ini, kerajaan Persekutuan AS dijangka berdepan risiko lumpuh yang akan memberi kesan buruk.
Situasi itu secara tidak langsung bakal menyebabkan penduduk, keluarga, golongan pekerja dan peniaga terpaksa menanggung beban kewangan yang besar.
Kelewatan dalam pembiayaan menandakan kegagalan Washington yang sering berpecah-belah dan enggan berkompromi, ketika tuntutan Republika menghalang Kongres daripada memenuhi tanggungjawab fiskal yang paling asas.
Seorang pegawai kanan yang identitinya tidak didedahkan mendakwa pentadbiran Presiden Joe Biden sudah mengambil langkah sewajarnya dalam usaha mempersiapkan kerajaan ke arah proses penutupan.
Pejabat Pengurusan dan Belanjawan White House pula meminta pemimpin untuk mengemas kini pelan tindakan mereka mengenai cara beroperasi sekiranya dana habis, sementara menyediakan draf komunikasi yang boleh digunakan untuk memaklumkan pekerja tentang situasi tersebut.
Di tengah-tengah kebuntuan, Republikan menggesa pemotongan perbelanjaan Persekutuan yang mendalam.
Gesaan itu dibuat kira-kira tiga bulan selepas Speaker Dewan Perwakilan AS, Kevin McCarthy memuktamadkan perjanjian dengan Biden yang seharusnya menghalang kecelaruan itu.
Dilaporkan, ahli Parlimen sayap kanan menghalang Dewan daripada menerima pakai pendekatan jangka pendek yang akan mengekalkan perbelanjaan Persekutuan pada tahap sedia ada, selain memberi lebih banyak masa untuk kedua-dua pihak membuat pengaturan jangka panjang.
Sekiranya Kongres gagal menyelesaikan kebuntuan itu sebelum tengah malam Jumaat ini, maka peruntukan Persekutuan akan luput.
Ia sekaligus menyebabkan kerajaan Persekutuan berdepan risiko lumpuh dengan banyak agensi terpaksa ditutup.
Bagaimanapun, warga emas masih akan menerima bantuan Keselamatan Sosial masing-masing memandangkan mereka tidak dibiayai menerusi peruntukan tahunan.
Namun, golongan dewasa AS mungkin tidak dapat memperoleh kad Medicare baharu atau menangani beberapa isu lain berkaitan faedah sehingga pembiayaan Persekutuan disambung semula.
Menurut pentadbiran Biden, siri pemeriksaan dilakukan Persekutuan dalam memastikan keselamatan makanan dan menghalang air minuman tercemar dengan bahan kimia berbahaya juga akan dihentikan.
Penyelidikan berkaitan rawatan kanser dan terapi inovatif lain yang dibiayai kerajaan Persekutuan juga akan terhenti.
Beberapa pejabat pasport akan ditutup sekiranya terletak di dalam bangunan kerajaan yang terjejas sekaligus berpotensi mengganggu pelan warga AS melakukan perjalanan antarabangsa.
Tidak lama lagi, Washington juga dijangka mengurangkan lagi program jaringan keselamatan Persekutuan yang menyimpan dana tidak digunakan dari beberapa tahun lalu.
Akhirnya, kerajaan AS mungkin tidak dapat menawarkan bantuan pemakanan, penjagaan kanak-kanak, baucer perumahan dan kewangan kolej kepada keluarga miskin.
Semakin lama penutupan itu berterusan maka semakin besar implikasinya yang akhirnya boleh menjejaskan ekonomi yang terumbang-ambing selama lebih setahun akibat kemelesetan.
“Penyelesaiannya amat mudah, anggota perwakilan dari parti Republikan perlu berhenti bermain politik dengan kehidupan rakyat.
“Banyak perkara yang dipertaruhkan dalam hal ini,” kata Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre.
Buat masa ini, Kongres terus bergerak ke arah krisis fiskal yang lain, dalam tempoh setahun yang menyaksikan kerajaan AS hampir berhenti membuat pembayaran hutang.
Minggu lalu, penggubal undang-undang meninggalkan Dewan Perwakilan dengan tiada resolusi dibuat, sekali gus meningkatkan kemungkinan pentadbiran pimpinan Biden menghampiri tempoh kurang seminggu lagi berdepan penutupan sejak tahun 1977 apabila AS mengalihkan permulaan tahun fiskalnya pada 1 Oktober.
* JUTAAN BAKAL KEBULURAN
Kelmarin, Biden dan seorang pegawai pembantunya memberi amaran bahawa penutupan kerajaan boleh mengakibatkan penderitaan termasuk menyekat bantuan makanan untuk hampir tujuh juta wanita dan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah.
Biden ketika mempengerusikan mesyuarat di sebuah institusi mengakui kegagalan Kongres membiayai kerajaan Persekutuan akan membawa implikasi buruk kepada komuniti penduduk kulit hitam.
Katanya, ia antara lain melibatkan pengurangan bantuan makanan, pemeriksaan di tapak sisa berbahaya dan penguatkuasaan undang-undang perumahan yang adil. – AGENSI/REUTERS