PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan akan bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin bulan ini bagi membincangkan kemungkinan membekalkan senjata kepada Kremlin untuk meneruskan peperangan di Ukraine.
Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, butiran mengenai pertemuan tu masih tidak jelas tetapi dijangka akan bertempat di bandar pelabuhan Russia di Vladivostok, memandangkan lokasinya yang berdekatan dengan Korea Utara.
Menurut risikan tentera yang pertama kali dilaporkan oleh New York Times, Jong-un yang jarang meninggalkan ibu negara Pyongyang dijangka melawat pantai Pasifik Russia dengan menaiki kereta api berperisai.
Forum Ekonomi Timur dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 13 September ini di kampus Universiti Persekutuan Timur di Vladivostok, yang dijangka akan dihadiri oleh kedua-dua pemimpin berkenaan.
Jong-un juga didakwa merancang untuk melawat Pier 33 yang menjadi lokasi kapal tentera laut armada Russia di Pasifik berlabuh.
Pertemuan itu dijangka diadakan ketika Jong-un dan Putin yang pertama kali bertemu pada 2019, berusaha menjalin kerjasama ketenteraan dan ekonomi yang lebih besar bagi mengatasi pengasingan antarabangsa ekoran pencerobohan Russia di Ukraine dan program peluru berpandu balistik serta senjata nuklear Korea Utara.
Menurut pegawai AS, Putin berminat untuk mendapatkan peluru berpandu anti kereta kebal Korea Utara sementara Jong-un berharap Kremlin akan membalasnya dengan teknologi untuk satelit dan kapal selam berkuasa nuklear.
Jong-un juga sedang mencari bantuan makanan daripada Russia berikutan laporan kadar kekurangan zat makanan yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun di Korea Utara.
Perjalanan yang dirancang itu dibuat selepas wujud spekulasi bahawa Russia mencadangkan agar Korea Utara menyertai latihan tentera laut bersama dengan China.
Jurucakap Majlis Keselamatan AS, Adrienne Watson berkata, Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu berada di Korea Utara baru-baru ini bagi mendapatkan senjata tambahan untuk kegunaan perang di Ukraine.
White House turut menegaskan mempunyai risikan yang menunjukkan bahawa Putin dan Jong-un bertukar surat semasa lawatan Shoigu ke Korea Utara dan AS bimbang rundingan senjata antara kedua-dua negara sedang giat dijalankan.
“Kami mempunyai maklumat bahawa Jong-un menjangkakan perbincangan ini diteruskan termasuk penglibatan diplomatik peringkat pemimpin di Russia,” kata Watson.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, AS menggesa Korea Utara untuk menghentikan rundingan senjatanya dengan Russia dan mematuhi komitmen awam yang dibuat oleh Pyongyang supaya tidak menyediakan atau menjual senjata kepada Moscow.
AS, Britain, Korea Selatan dan Jepun turut mendakwa, sebarang perjanjian senjata antara Korea Utara dan Russia jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).-AGENSI