Jepun lepaskan air sisa loji nuklear Fukushima bagi pusingan kedua minggu depan - Utusan Malaysia

Jepun lepaskan air sisa loji nuklear Fukushima bagi pusingan kedua minggu depan

GAMBAR dari pemandangan udara menunjukkan loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Jepun dijangka melepaskan air sisa daripada loji nuklear Fukushima bagi pusingan kedua bermula minggu depan, kata pengendalinya.

Pada 24 Ogos lalu, Jepun mula menyalurkan sebahagian daripada 1.34 juta tan air sisa yang terkumpul sejak tsunami melumpuhkan kemudahan itu pada 2011, ke Pasifik.

“Pemeriksaan selepas keluaran pertama sudah selesai… Pelepasan (kedua) akan bermula pada 5 Oktober,” kata TEPCO dalam kenyataan semalam.

China sebelum ini mengharamkan semua import makanan laut Jepun selepas pelepasan pertama, yang berakhir pada 11 September lalu, walaupun Tokyo memberi jaminan bahawa operasi itu tidak menimbulkan risiko.

Russia, yang mempunyai hubungan dingin dengan Jepun juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengikuti langkah sama mengenakan larangan import makanan laut dari negara itu.

Dalam fasa pertama, kira-kira 7,800 tan air dilepaskan ke Laut Pasifik daripada jumlah yang dirancang sebanyak 1.34 juta tan, bersamaan dengan lebih daripada 500 kolam renang Olimpik.

TEPCO mengatakan, air itu sudah ditapis daripada semua unsur radioaktif kecuali tritium, yang berada pada paras selamat. Pandangan itu turut disokong oleh agensi atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

China bagaimanapun menuduh Jepun menggunakan lautan seperti ‘pembetung’ dan tuduhan itu bergema di PBB minggu lalu oleh Perdana Menteri, Manasseh Sogavare dari Kepulauan Solomon, yang menjalin hubungan rapat dengan Beijing.

Pembebasan itu dijangka mengambil masa beberapa dekad untuk dimuktamadkan, bertujuan untuk mengeluarkan bahan api radioaktif dan runtuhan yang sangat berbahaya dari reaktor yang rosak.

“Seperti yang berlaku untuk pelepasan pertama, kami akan terus memantau tahap tritium. Kami akan terus memaklumkan kepada orang ramai dengan cara yang mudah difahami berdasarkan bukti saintifik,” kata pegawai TEPCO, Akira Ono kepada pemberita semalam.

Walaupun China mengharamkan import makanan laut Jepun, bot China dilaporkan terus menangkap ikan dari Jepun di kawasan yang sama di mana kapal nelayan Jepun beroperasi.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke Jepun, Rahm Emanuel, minggu lalu menyiarkan gambar yang dikatakannya sebagai bot nelayan China di luar Jepun pada 15 September.

“Sekeping gambar bernilai seribu perkataan. Kapal China menangkap ikan di luar pantai Jepun pada 15 September, selepas sekatan makanan laut China dari perairan yang sama,” kata Emanuel di pentas media sosial X. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya