JAKARTA: Kerajaan Indonesia merancang mula membina sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di pulau peranginan terkenal, Bali pada tahun depan bagi mengurangkan kesesakan di lapangan terbang di pulau berkenaan.
Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Pandjaitan berkata, LRT itu akan dibina di bawah tanah dan menghubungkan lapangan terbang utama pulau itu dengan destinasi percutian terkenal, Canggu dan Seminyak.
“LRT di Bali akan dibina secara bawah tanah, jadi kesesakan di lapangan terbang Bali pada tahun 2025-2026 boleh dikurangkan.
“Jika LRT itu tidak dibina secepat mungkin, para pelancong mungkin terkandas di lapangan terbang selama lebih tiga jam.
“Kita mahu beri keselesaan kepada semua pihak yang memasuki Bali,” katanya.
Projek tersebut yang diarahkan oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi) juga menarik minat pelaburan di Seoul, Tokyo dan Beijing. – AFP