NEW DELHI: Agensi angkasa lepas India hari ini melancarkan kapal angkasa untuk mengkaji matahari.
Pelancaran itu dibuat beberapa hari selepas menjadi negara pertama mendaratkan kapal angkasa di kutub selatan bulan, bahagian yang belum diterokai.
Lapor BBC, kapal angkasa Aditya-L1 berlepas dari landasan pelancaran di Sriharikota kira-kira 11.50 pagi (waktu tempatan).
Kapal itu akan mengembara ke orbit lingkaran cahaya di kawasan angkasa kira-kira 1.5 juta kilometer (km) dari bumi, sekitar satu peratus jarak bumi-matahari.
Menurut agensi angkasa lepas India, Aditya-L1 akan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk pergi ke tempat pemerhatiannya.
Dilaporkan, Aditya-L1 bermaksud matahari dalam bahasa Hindi.
Ia dilancarkan dari menggunakan kenderaan pelancar satelit polar (PSLV).
Pagi tadi, ribuan penduduk berkumpul di galeri tontonan ditubuhkan oleh Agensi Penyelidikan Angkasa India (ISRO) berhampiran tapak pelancaran untuk menyaksikan pelancaran kapal Aditya-L1.
Pelancaran itu juga disiarkan secara langsung di televisyen tempatan India.
Sementara itu, pasukan saintis ISRO memaklumkan pelancaran kapal angkasa itu berjaya dan prestasinya dalam keadaan baik.
ISRO mengisytiharkan misi itu berjaya selepas sejam empat minit masa penerbangan.
“Kini, kapal Aditya-L1 akan meneruskan perjalanannya yang akan mengambil masa selama 135 hari. Kita mendoakan yang terbaik,” kata Ketua ISRO, Sreedhara Panicker Somanath.