VIENNA: Ketua badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rafael Grossi mengutuk tindakan Iran menghalang beberapa anggota pemeriksa yang ditugaskan untuk melakukan pemantauan aktiviti nuklear di negara itu.
Langkah itu secara tidak langsung meningkatkan kebimbangan mengenai aktiviti atom Teheran.
Tindakan Iran merupakan tindak balas kepada gesaan diketuai oleh Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis dan Jerman di Lembaga Pengelola Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang meminta Teheran bekerjasama segera dengan IAEA berhubung beberapa isu.
Isu itu termasuk menjelaskan mengenai kesan uranium ditemukan di beberapa tapak yang belum diisytiharkan.
Bagaimanapun, Grossi menegaskan beliau percaya Iran sudah bertindak keterlaluan.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan unilateral yang disifatkan sebagai tidak wajar dan belum pernah berlaku sebelum ini.
“Sudah tentu, ia menjejaskan perancangan dan pengendalian biasa aktiviti pengesahan agensi di Iran.
“Ia juga secara terang-terangan bercanggah dengan kerjasama yang sepatutnya wujud antara agensi itu dengan Iran,” katanya dalam satu kenyataan.
Tindakan Iran yang dikenali sebagai `menghalang anggota pemeriksa’ adalah dibenarkan.
Dilaporkan, negara anggota secara amnya boleh memveto anggota pemeriksa yang ditugaskan untuk mengunjungi fasiliti nuklear mereka di bawah Perjanjian Bukan-Proliferasi (NPT) dan perjanjian perlindungan negara masing-masing dengan agensi mengawal selia.
Namun IAEA berpandangan keputusan Teheran melangkaui amalan biasa.
Katanya, Iran sudah memaklumkan bahawa pihaknya akan `menyekat’ beberapa anggota pemeriksa tanpa menyatakan bilangannya.
Justeru, Grossi menggesa kerajaan Iran untuk mempertimbangkan semula keputusannya dan kembali ke jalan kerjasama dengan IAEA.
“Anggota pemeriksa ini merupakan antara pakar agensi mempunyai pengalaman luas dengan pengetahuan unik dalam teknologi pengayaan.
“Menerusi tindakan itu, Iran sudah menyekat kira-kira satu pertiga daripada kumpulan teras anggota pemeriksa berpengalaman yang ditetapkan untuk Iran,” katanya.
Sementara itu, Iran mempertahankan tindakannya dan menuduh AS, Britain, Perancis dan Jerman mempolitikkan isu badan pemerhati IAEA.
“Malangnya, di sebalik interaksi yang positif, konstruktif dan berterusan dengan agensi itu, tiga negara Eropah dan AS menyalahgunakan Lembaga Pengelola IAEA untuk tujuan politik mereka sendiri.
“Sudah tentu, Iran akan meneruskan kerjasama positif dalam rangka perjanjian yang dilakukan, selain menekankan keperluan berkecuali agensi itu,” kata Jurucakap Kementerian Luar, Nasser Kanaani. – REUTERS