HONG KONG: Banjir kilat melanda Hong Kong selepas hujan yang disifatkan paling lebat dalam tempoh hampir 140 tahun melanda wilayah separa autonomi itu semalam.
Banjir yang berlaku menyebabkan jalan-jalan utama di wilayah ini dan stesen tren bawah tanah dinaiki air sehingga memaksa semua sekolah ditutup buat sementara waktu.
Hujan lebat di Hong Kong bermula sejak Khamis lalu dan dalam tempoh satu jam sebelum waktu tengah malah, pusat pemantau cuaca merekodkan isi padu hujan sebanyak 158.1 milimeter, sekali gus menjadi yang tertinggi sejak 1884.
Sehubungan itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir kepada penduduk supaya mereka membuat persiapan sekiranya perlu dipindahkan.
Selain itu, pasukan kecemasan turut melakukan operasi menyelamat di beberapa kawasan di wilayah berkenaan.
“Penduduk yang tinggal berhampiran sungai perlu peka dengan keadaan cuaca dan perlu berpindah jika diarahkan pihak berkuasa,” menurut pusat pemantauan tersebut.
Risiko berlakunya tanah runtuh juga tinggi akibat hujan lebat tersebut, dan semua penunggang motosikal diminta tidak melalui jalan berhampiran lereng bukit.

Keadaan itu turut memberi kesan terhadap pemandu teksi Hong Kong apabila mereka cuba meredah banjir untuk mengambil penumpang yang terkandas ke tempat kerja.
Di beberapa kawasan, paras air tinggi menyebabkan sejumlah kenderaan tenggelam.
BAWAAN TAUFAN HAIKUI
Pihak berkuasa Hong Kong menyatakan hujan lebat yang berlaku disebabkan oleh Taufan Haikui yang sebelum itu membadai China.
Setakat ini, lebih 80 orang mengunjungi pusat kecemasan di hospital untuk mendapatkan rawatan dan juga perlindungan.
“Hujan lebat ini amat mengejutkan kami kerana tidak pernah berlaku seperti ini.
“Lantai pusat beli-belah dinaiki air, malah airnya lebih tinggi daripada tangga bergerak,” kata seorang penduduk, Jacky, 52.
Dalam pada itu, rakaman video dan imej yang dikongsi orang ramai dalam media sosial menunjukkan beberapa stesen tren dinaiki air sehingga menyebabkan perkhidmatan pengangkutan itu tergendala.
NASIB SERUPA DI CHINA
Bandar Shenzhen di selatan China juga dilanda hujan paling lebat dalam sejarah sejak 1952.
Hujan lebat itu berlaku seminggu selepas hub kewangan itu ditutup akibat dua taufan.
“Dari pukul 5 pagi (waktu tempatan) pada Khamis sehingga 6 pagi semalam, purata hujan yang turun di Shenzhen direkodkan sebanyak 202.8 milimeter dan hujan kumulatif maksimum mencapai 469 milimeter,” lapor agensi berita Xinhua.
Hujan itu secara tidak langsung memecahkan rekod hujan lebat yang pernah berlaku di bandar ini pada 71 tahun lalu.
Jabatan kaji cuaca China meramalkan hujan lebat itu berterusan sehingga hari ini.
Sama seperti di Hong Kong, pihak berkuasa Shenzhen juga menutup semua peringkat sekolah sebagai langkah keselamatan.
Selain itu, perkhidmatan di enam laluan tren bawah tanah dihentikan buat sementara waktu dan pihak berkuasa memberi amaran kepada masyarakat supaya menjauhi kawasan gunung, sungai dan lereng bukit. – AFP