BANGKOK: Harga beras global berada pada paras tinggi, menyebabkan harga beras Thailand meningkat kepada 12,000 baht (RM1,593) setiap tan.
Kenaikan itu berlaku selepas Myanmar mengikuti langkah India dengan melaksanakan sekatan selama dua bulan ke atas eksport beras.
Lapor The Nation, Presiden kehormat Persatuan Pengeksport Beras Thailand, Chookiat Ophaswongse berkata, situasi harga beras semasa menyukarkan penjual untuk memberikan harga yang tepat.
Malah, katanya, larangan eksport beras dilaksanakan oleh Myanmar baru-baru ini memburukkan lagi ketidaktentuan.
Peniaga sedang memantau dengan teliti keputusan India berhubung negara mana akan menjual beras kerana ia akan memberi kesan kepada harga beras global.
“Vietnam yang merupakan pengeksport beras ketiga terbesar memaklumkan tidak akan menghentikan eksport beras.
“Tetapi ketidakpastian masih wujud mengenai pelan masa depan negara pengeksport beras utama lain,” kata Chookiat.
Pada 20 Julai lalu, India menyekat kebanyakan eksport beras sehingga mencetuskan kebimbangan negara pengeksport beras lain akan mengikut langkah sama yang boleh mengakibatkan ketidaktentuan dalam pasaran beras global.
Hanya beras basmati yang boleh dieksport dari India walaupun kerajaan republik itu membuka saluran untuk menjual terus kepada negara lain.
Beberapa negara memohon kuota eksport dari India yang menyebabkan turun naik harga.
India merupakan pengeksport beras terbesar dunia dan menyumbang sekitar 40 peratus daripada perdagangan beras global.
Ia memberi impak besar terhadap harga beras global.
Pengeksport utama lain seperti Thailand, Vietnam, Pakistan dan Amerika Syarikat (AS) terjejas dengan larangan separa India.