LOS ANGELES: Gunung berapi Kilauea di Hawaii, meletus semula dan memuntahkan pancutan lava setinggi 24 meter.
Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii berkata, Gunung berapi Kilauea mula meletus kira-kira pukul 3.15 petang (waktu tempatan).
“Letusan itu didahului oleh tempoh seismik yang kuat dan peningkatan pesat di bahagian puncak.
“Ini adalah kali ketiga Kilauea meletus tahun ini, selepas Januari dan Jun lalu,” kata badan itu.
Strim langsung Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dari pinggir kaldera menunjukkan air pancutan lava meletus dari pelbagai rekahan di kawah.
USGS menaikkan status amaran gunung berapi daripada tahap berjaga-jaga kepada berbahaya dan amaran penerbangan dinaikkan kepada warna merah.
Kilauea berada di Taman Negara Gunung Berapi Hawaii, jauh dari pusat penduduk, tetapi Agensi Pengurusan Kecemasan Hawaii memberi amaran gas gunung berapi boleh mencetus masalah kepada mereka yang terdedah.
“Pada masa ini, lava di Kilauea hanya terhad di puncak dan tidak menimbulkan ancaman lava kepada masyarakat.
“Bagaimanapun, letusan mengeluarkan zarah dan gas gunung berapi yang mungkin menimbulkan masalah pernafasan bagi orang yang terdedah,” katanya.-AFP