NEW DELHI: Plak nama di meja Perdana Menteri India, Narendra Modi pada pembukaan sidang kemuncak G20 yang merujuk negara tersebut sebagai ‘Bharat’, menimbulkan spekulasi pertukaran nama negara Asia Selatan itu.
India juga sering dipanggil Bharat, Bharata atau Hindustan dalam bahasa negara itu ketika zaman pra-penjajah dan turut digunakan secara bergantian oleh orang ramai dan acara rasmi.
Walaupun negara itu secara tradisinya tetap menggunakan India dalam gelaran seperti presiden atau perdana menteri semasa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Presiden Droupadi Murmu, awal minggu ini merujuk dirinya sebagai ‘Presiden Bharat’ dalam jemputan makan malam untuk majlis resepsi pemimpin G20.
Logo Sidang Kemuncak G20 turut mempunyai kedua-dua nama dengan Bharat ditulis dalam bahasa Hindi sementara India dalam bahasa Inggeris.
“Bharat mengalu-alukan perwakilan sebagai Presiden G20,” kata Modi ketika berucap dalam bahasa Hindi semasa merasmikan sidang kemuncak tersebut.
Tindakan itu sekali gus mencetuskan kontroversi dan tanda tanya berhubung nama negara itu.
New Delhi menjadi tuan rumah kepada pemimpin ekonomi utama dalam sidang kemuncak blok itu di pusat konvensyen baharu berbentuk kerang bernilai AS$300 juta (RM1.4 bilion) dipanggil Bharat Mandapam yang terletak bertentangan dengan kubu batu abad ke-16.
Walaupun beberapa penyokong nama Bharat mengatakan panggilan India diberikan oleh penjajah British, sejarawan mengatakan nama itu mendahului pemerintahan kolonial berabad lamanya.
Pengasas Ideologi Parti Bhartiya Janata (BJP), Rashtriya Swayamsevak Sangh sentiasa berkeras untuk memanggil negara itu Bharat.
Saingan Modi berkata, perubahan itu adalah tindak balas kepada pakatan pembangkang baharu yang dibentuk oleh 28 parti pada Julai lalu.
Kumpulan yang dipanggil Perikatan Inklusif Pembangunan Nasional India, (INDIA) itu dikatakan akan menentang BJP dalam pilihan raya Parlimen tahun depan.-REUTERS