ROM: Lebih 100 penumpang termasuk pendatang asing berjaya diselamatkan dalam insiden kebakaran feri di Itali, awal pagi tadi.
Dilaporkan, feri itu terbakar semasa dalam perjalanan dari Lampedusa ke Sicily.
Menurut pihak berkuasa, kebakaran feri itu dipercayai bermula dari bilik enjin.
Pengawal pantai memaklumkan feri dari Lampedusa ke Porto Empedocle di selatan Sicily membawa seramai 177 penumpang termasuk 27 anak kapal dan 83 migran.
Jelasnya, ramai migran mendarat di Lampedusa selepas menyeberangi Mediterranean dengan bot, sebelum dipindahkan ke tempat lain.
Tambahnya, penumpang dibawa dengan kapal peronda untuk dipindahkan ke Sicily dan kembali ke Lampedusa.
Feri itu yang tidak beroperasi, akan ditunda ke pelabuhan bersama anak kapalnya.
Lonjakan ketibaan migran di pulau itu menjadi masalah di Eropah, dengan kerajaan Itali menuntut lebih banyak bantuan daripada Kesatuan Eropah (EU).
Menurut Kementerian Dalam Negeri Itali, lebih 130,000 pendatang tiba di pantai Itali setakat tahun ini.
Jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding angka direkodkan pada tahun lalu. – AFP