TOKYO: Tahap pertama pelepasan air radioaktif yang sudah rawat dari loji kuasa nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik akan berakhir pada Isnin depan seperti yang dirancang.
Pengendali loji itu, TEPCO menyatakan kandungan tritium radioaktif dalam sampel air laut yang diuji berhampiran loji di timur laut Jepun berada dalam lingkungan selamat, menurut satu kenyataan semalam.
Jepun mula melepaskan air sisa radioaktif ke Lautan Pasifik pada 24 Ogos ekoran 1.34 juta tan air terkumpul sejak tsunami melumpuhkan kemudahan itu pada 2011.
Negara itu menegaskan bahawa pelepasan air sisa tersebut selamat dan disokong agensi atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, tindakan Jepun itu telah mencetuskan bantahan daripada nelayan tempatan dan juga negara-negara jirannya.
China melarang semua import makanan laut dari Jepun, sambil menuduh negara jirannya itu meganggap air laut seperti “pembetung”.
Sebanyak 7,800 tan air itu dijangka dilepaskan ke Lautan Pasifik setakat 11 September, iaitu sama dengan jumlah yang boleh mengisi 540 kolam renang Olimpik.
TEPCO tidak memberikan tarikh bagi permulaan pelepasan kedua.
Minggu lalu Perdana Menteri Fumio Kishida secara terbuka makan ikan dari Fukushima dalam usaha untuk meyakinkan pengguna.
Kerajaan Tokyo juga meningkatkan pakej bantuan untuk sektor perikanan berikutan larangan import makanan laut oleh China, pasaran eksport ikan terbesar Jepun.