Erdogan ‘pujuk’ Putin sambung semula perjanjian bijirin Laut Hitam

Erdogan ‘pujuk’ Putin sambung semula perjanjian bijirin Laut Hitam

RECEP Tayyip Erdogan (kiri) bersalaman dengan Vladimir Putin ketika mengadakan pertemuan di bandar Sochi, Russia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin mengulangi pendiriannya bahawa Moscow akan bersetuju menyambung semula perjanjian penghantaran bijirin Ukraine dengan selamat merentasi Laut Hitam jika Barat memenuhi permintaan Moscow berhubung eksport pertaniannya.

BERTEMU ERDOGAN

Kenyataan Presiden Russia itu dibuat selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di bandar Sochi bagi memulihkan semula perjanjian yang dilihat penting untuk bekalan makanan global, terutama di Afrika, Asia Barat dan Asia.

Russia enggan melanjutkan perjanjian itu Julai lalu selepas mendakwa tuntutan selari untuk menghapuskan halangan kepada eksport makanan dan bajanya tidak dipenuhi.

Moscow sebelum ini menegaskan, sekatan ke atas perkapalan dan insurans menghalang perdagangan pertaniannya, walaupun sudah menghantar sejumlah besar gandum sejak tahun lepas.

Putin mengulangi aduan tersebut dan berkata, koridor Laut Hitam tidak boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan, malah memberitahu pemberita bahawa jika komitmen itu dipenuhi, Russia boleh kembali kepada perjanjian penghantaran bijiran dalam tempoh beberapa hari lagi.

Erdogan juga menyatakan harapan bahawa kejayaan dapat dicapai tidak lama lagi dan menjelaskan, Turkiye serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi perantara perjanjian asal itu sudah menyusun pakej cadangan baharu untuk menangani isu berkenaan.

“Kami percaya bahawa inisiatif itu harus diteruskan dengan memperbaiki kelemahan,” kata Erdogan yang turut mengambil peranan sebagai pengantara antara Ukraine dan Russia.

Pertemuan itu merupakan yang pertama antara kedua-dua pemimpin sejak pemilihan semula Erdogan untuk penggal ketiga sebagai Presiden Turkiye pada Mei lalu.

USAHA POSITIF

Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) menolak aduan Moscow dan mengatakan sekatan mereka tidak menyasarkan bijirin dan baja Russia.

Menurut pakar, kegagalan untuk memulihkan perjanjian itu akan memberi impak drastik di beberapa negara Afrika yang banyak bergantung kepada bijirin Ukraine dan Russia.

Dalam usaha menanganinya, Putin memberitahu wartawan di Sochi bahawa Moscow akan membekalkan bijirin percuma kepada enam negara Afrika dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Kami hampir menyelesaikan perjanjian dengan enam negeri Afrika, di mana kami berhasrat untuk membekalkan bahan makanan secara percuma malah melaksanakan penghantaran dan logistik secara percuma.

“Penghantaran akan bermula dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Pemimpin Russia itu mendakwa sebahagian besar bijirin yang dieksport melalui perjanjian Laut Hitam sampai ke Barat dan bukannya negara miskin.

Wartawan Al Jazeera, Resul Serdar melaporkan, Istanbul yakin bahawa Erdogan akan dapat meyakinkan Putin untuk kembali kepada perjanjian bijirin Laut Hitam.

“Pegawai di sini mengatakan Ankara cuba meyakinkan beberapa negara Barat untuk membenarkan Russia dalam cara yang terhad, kembali kepada sistem pembayaran antarabangsa.

“Syarikat juga akan menyediakan insurans kepada kapal Russia yang membawa bijirin dan baja. Ia akan menjadi satu langkah besar jika benar-benar berlaku,” kata Resul.

Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock menyelar keputusan Putin menyekat perjanjian bijirin Laut Hitam dan mendakwa usaha Erdogan untuk menyambung semula inisiatif berkenaan ke landasan yang betul amat penting bagi mengelak kebuluran global.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya