LONDON: Menurut pakar, hampir dua juta orang di United Kingdom (UK) hanya mencuci tuala mandi mereka sekali setahun, walaupun mengetahui ia menjadi sarang pembiakan bakteria.
Pakar mencadangkan tuala perlu dicuci selepas tiga kali penggunaan.
Tetapi tinjauan oleh syarikat pengeluar alat mandian, Showers To You mendapati, tiga peratus daripada warga Britain mengaku membasuh tuala hanya sekali tahun sementara satu daripada 10 penduduk UK atau lebih empat juta orang mencucinya dua kali setahun.
Lelaki didapati lima kali lebih berkemungkinan untuk membersihkan tuala mereka hanya sekali setahun, dengan lima peratus responden lelaki mengaku berbuat demikian berbanding hanya satu peratus bagi golongan wanita.
Satu pertiga daripada responden dalam tinjauan tersebut mencuci tuala mereka di dobi hanya sekali setiap tiga bulan, menyamai lebih 17 juta orang.
Hasil soal selidik yang dijalankan, penduduk di Leicester dan Glasgow dikesan paling jarang mencuci tuala mandi mereka.
Pakar Dobi dan Ketua Pegawai Eksekutif Laundryheap, Deyan Dimitrov berkata, tuala yang kotor menjadi tempat pembiakan kulat dan bakteria namun cara mencuci dengan betul amat penting bagi mengekalkan kualiti serta tahap penyerapannya.
“Pastikan anda tidak menggunakan pelembut fabrik semasa membersihkan tuala, kerana ia boleh menghilangkan kuasa penyerapannya.
“Elakkan juga menggunakan air panas dan mesin pengering terlalu lama kerana ini boleh menyebabkan tuala luntur, tidak lagi gebu dan menjadi kasar,” katanya.