ATLANTA: Seorang doktor gigi dari Georgia masih mengekalkan rekod memiliki koleksi ubat gigi terbanyak di dunia termasuk tiub dari negara yang menampilkan perisa unik daripada wasabi hingga wiski.
Val Kolpakov memulakan koleksinya pada tahun 2001 kerana keterujaan untuk mengetahui lebih mendalam tentang kandungan semua ubat gigi yang ada di pasaran.
Tetapi tidak lama selepas memulakan koleksinya, dia menyedari ia adalah hobi yang sangat menarik malah dua dekad kemudian, dia berjaya mengumpul 2,037 tiub berbeza dari seluruh dunia termasuk barangan dari Jepun, Korea, China, India dan Russia.
Koleksi tersebut dianggarkan mencecah AS$30,000 (RM140,530) dan sebahagian daripadanya kini dipamerkan di pejabat pergigiannya di Alpharetta, Georgia, yang sudah diubahnya menjadi muzium mini dengan rak, kabinet serta dinding dihiasi pelbagai jenis ubat gigi.
Menurut Rekod Dunia Guinness, Kolpakov pertama kali diiktiraf sebagai pemegang rekod untuk koleksi ubat gigi terbesar pada 15 Jun 2012 dan kini gelaran itu masih miliknya.
Beberapa perisa luar biasa dimiliki beliau termasuk wiski, coklat, mawar, buluh dan bacon namun doktor gigi itu mengakui tidak berani mencuba rasa ubat gigi wasabi dalam koleksinya.
Kolpakov turut menyimpan ubat gigi dipanggil Doramad yang digali dari parit Perang Dunia Kedua di Jerman kerana keunikannya yang bersifat radioaktif.
“Saya menganggap ini antara yang paling luar biasa. Ia memang mempunyai sebatian radioaktif torium kerana pada masa itu orang percaya bahawa sebatian radioaktif mampu memulihkan semula tisu dan baik untuk kulit serta gigi anda,” katanya.-AGENSI