NEW YORK: Seorang pelancong tidak menyangka pemandangan indah bandar Manhattan di tingkap bilik hotelnya adalah bidai semata-mata.
Terdahulu, menerusi satu laman web, Amber Shelby dari Texas menempah bilik hotel yang didakwa menyajikan pemandangan indah bandar Manhattan.
Namun, perasaan teruja Shelby bersama suami dan dua anaknya berubah selepas mereka mendapati, pemandangan itu sebenarnya adalah gambar poster yang dicetak dan diletakkan sebagai bidaii menutupi tingkap bilik berkenaan.
“Saya betul-betul tidak menyangka perkara seperti ini akan berlaku.
“Selalunya, scam boleh berlaku melibatkan kewangan, namun kali ini saya dan keluarga kena tipu mengenai pemandangan di tingkap bilik hotel,” ujar Shelby menerusi video TikTok.
Shelby memaklumkan, dia mengetahui perkara itu ketika mahu membuka tingkap dan menyaksikan pemandangan luar.
Dia terkejut apabila ‘pemandangan itu tiba-tiba terangkat ke atas’ dan menyedari bahawa ia adalah bidai.
Lebih menyedihkan, pemandangan sebenar tingkap di bilik tersebut adalah menghadap tempat letak kenderaan hotel.
Shelby menjelaskan, dia berasa kecewa dengan insiden yang berlaku, namun enggan memperbesarkan hal berkenaan.
“Mungkin saya terlepas pandang mengenai maklumat yang disediakan pihak hotel dalam tempahan,” ujarnya.