WASHINGTON: Anak lelaki Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden didakwa melakukan jenayah pemilikan senjata api pada tahun 2018.
Pendakwaan itu dibuat oleh Penasihat Khas AS, David Weiss terhadap Hunter Biden, sekali gus menjadi pertuduhan pertama dalam sejarah Jabatan Kehakiman AS melibatkan anak seorang presiden yang masih berkhidmat.
Hunter didakwa dengan tiga tuduhan termasuk membuat kenyataan palsu dalam borang senjata api persekutuan dan memiliki senjata api sebagai individu yang dilarang.
Pendakwaan itu secara tidak langsung boleh menyukarkan perjalanan bapanya untuk merebut sekali lagi jawatan presiden dalam pilihan raya tahun depan.
Pentadbiran White House pada mulanya beranggapan, ‘drama undang-undang’ Hunter akan berakhir pada musim panas ini, namun, perjanjian pengakuan yang dicapai dengan Weiss untuk menyelesaikan perkara ini tanpa tuduhan gagal akibat pemantauan ketat oleh seorang hakim persekutuan.
Dakwaan ke atas Hunter dilihat bakal memainkan peranan besar dalam kempen Presiden AS pada tahun 2024.
Pilihan raya itu dijangka menyaksikan Joe Biden yang berusia 80 tahun ‘berusaha keras’ untuk pencalonan semula dirinya dalam pertarungan yang berkemungkinan menemukannya dengan Donald Trump, 77.
Trump pula pada masa ini sedang menghadapi empat perbicaraan jenayah di mahkamah.
Sebelum ini, Hunter, 53, akan mengaku bersalah kepada dua tuduhan berkaitan cukai jenayah ringan dan mendaftar dalam program untuk mengelakkan pendakwaan dalam kes senjata api, namun, ia tidak berlaku dalam perbicaraan bulan Julai lalu.
Menurut sumber CNN, sebarang rancangan untuk Hunter yang kini berada di California menyerah diri atau mengadakan penampilan awal termasuk tarikh dan lokasi masih perlu diatur.