BEIJING: Lebih 90 negara mengesahkan untuk menyertai Forum Ketiga Jalur dan Laluan (BRI) untuk Kerjasama Antarabangsa yang bakal diadakan pada bulan depan, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, tarikh 7 September (kelmarin) merupakan ulang tahun ke-10 Jalur Ekonomi Laluan Sutera (komponen di bawah Inisiatif BRI).
Katanya, forum yang akan dianjurkan pada Oktober ini bakal menjadi acara terpenting sempena memperingati ulang tahun berkenaan.
“Forum itu juga bakal menjadi platform penting bagi semua pihak untuk membincangkan kerjasama berkaitan BRI.
“Setakat ini, wakil dari lebih 90 negara telah mengesahkan penyertaan mereka.
“Antaranya ialah pemimpin, menteri dan wakil rasmi lain dari negara rakan BRI, serta wakil dari pelbagai bidang, termasuk komuniti perniagaan, kumpulan pemikir dan masyarakat awam yang menyokong dan aktif mengambil bahagian dalam kerjasama BRI,” katanya.
Ketua dan wakil pelbagai pertubuhan antarabangsa juga telah mengesahkan kehadiran mereka.
“Dipercayai lebih ramai rakan kongsi akan mengesahkan penyertaan dalam tempoh beberapa hari lagi,” ujar Mao Ning.