BEIJING: Kawasan selatan China terus dinaiki air selepas hujan tanpa henti selama tujuh hari berturut-turut, menyebabkan banyak jalan terhalang dan penduduk setempat terkandas.
Menurut media kerajaan, pasukan penyelamat yang menaiki bot tidak berhenti-benti membawa orang ramai ke tempat pemindahan sejak malam semalam, selepas air naik sehingga lebih dua meter di daerah luar bandar Bobai di wilayah Guangxi.
Hujan lebat dijangka berterusan di Guangxi untuk beberapa hari akan datang, sekali gus menyebabkan banjir yang berlaku semakin teruk.
Terdahulu bandar Shenzhen yang padat penduduknya dilanda hujan lebat paling buruk sejak 1952 dan insiden serupa berlaku di Hong Kong apabila wilayah separa autonomi itu dibadai hujan paling lebat dalam tempoh 140 tahun.
Saintis memberi amaran taufan yang melanda China menjadi lebih kuat dengan laluan semakin rumit, sekali gus meningkatkan risiko bencana, walaupun di bandar pantai seperti Shenzhen mempunyai keupayaan pertahanan banjir yang kuat.
Pakar Klimatologi di Universiti California, Irvine, Shao Sun, berkata taufan yang bergerak jauh ke pedalaman menjejaskan kawasan yang kurang terdedah kepada hujan lebat dan angin kencang.
“Kawasan seperti ini lazimnya mempunyai daya tahan bencana yang lebih rendah, yang membawa kepada kerugian lebih teruk.
“Dalam kes Shenzhen, bencana yang berlaku agak perlahan berikutan pergerakan Taufan Haikui berkurangan sehingga hampir statik, menyebabkan kawasan berkenaan menerima hujan yang lebat,” katanya. – REUTERS