BEIJING: Seorang kanak-kanak lelaki di China didakwa menyebabkan sejumlah rakannya mabuk selepas memberi mereka minum bir di sekolah.
Kanak-kanaklelaki berusia tujuh tahun di Xiamen itu dikatakan membawa dua botol bir tanpa pengetahuan ibu dan bapanya malah turut menyebabkan beberapa rakan sekelasnya ‘mabuk’ ketika kejadian baru-baru ini.
Insiden itu hanya diketahui umum setelah dikongsi ibu kanak-kanak tersebut.
Menerusi klip video berkenaan, budak itu dipercayai sedang menjalani ‘hukuman’ memandangkan dia sedang menghadap ke dinding.
“Saya tidak tahu bila dia ambil dua botol bir tersebut dari peti sejuk,” bebel wanita itu ketika menceritakan kenakalan anaknya.
Dia turut berkongsi tangkapan skrin perbualan bersama guru yang mengadukan hal tersebut.
Guru itu juga menyatakan ramai murid di kelas itu mabuk hingga tertidur setelah berkongsi bir berkenaan.
Akibat perbuatan itu, ibunya terpaksa memohon maaf kepada guru dan ibu bapa murid yang terlibat.
Insiden itu turut mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial dan ada yang berpendapat ibu bapanya wajar memberi lebih perhatian kepadanya ketika di rumah.