BANGKOK: Penjual makanan, Ladda Prachada, 63, menutup gerai makannya yang terletak di Thonglor di Bangkok sejak minggu lalu ekoran kenaikan harga bahan mentah, terutamanya beras.
Seguni beras jasmin seberat 48 kilogram biasanya dijual pada harga AS$31 (RM145.50), kini harga beras itu meningkat menjadi AS$40 (RM188) bagi berat yang sama.
Apabila tidak berniaga, Ladda tidak memperoleh keuntungan, selain kenaikan harga barang, termasuk perlu membayar sewa tapak gerai dan pembantu, wanita itu tidak mempunyai pilihan selain menutup perniagaannya.
“Harga beras naik sangat mendadak dan mahal. Saya tidak dapat untung jika saya teruskan meniaga.
“Itu sebab saya sering tutup gerai kerana saya sudah putus asa,” katanya.
Ladda merupakan seorang daripada peniaga dan juga pengguna biasa di Thailand yang terkesan dengan kenaikan harga beras dan kekurangan stok dalam pasaran.
Keadaan itu berlaku selepas India melarang eksport bekalan beras pada Julai lalu bagi memulihkan kadar inflasi di negara itu.
PELUANG THAILAND, VIETNAM
Sebagai antara pengeluar beras dan pengeksport utama di Asia Tenggara, Thailand dan Vietnam boleh menggunakan peluang yang ada untuk meraih lebih banyak keuntungan.
Harga beras putih keluaran kedua-dua negara itu meningkat lebih 20 peratus.
Namun, pakar pasaran berpendapat, pengguna di kedua-dua negara itu terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang dan berdepan tempoh tidak stabil apabila perubahan iklim menjejaskan pengeluaran dan bekalan makanan di Asia Tenggara.
Pada minggu lalu, Perdana Menteri Srettha Thavisin menyeru semua pihak menyokong kajian dan pembangunan dalam sektor agrikultur bagi meningkatkan jumlah pengeluaran tuaian.
DAPAT FAEDAH
India merupakan pengeksport beras terbesar dunia, diikuti Thailand dan Vietnam.
Ketiga-tiga negara itu membekalkan sebanyak 22 juta tan beras kepada seluruh dunia pada tahun lalu, sekali gus menjadi 40 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport beras.
Pada tahun ini, inflasi makanan berlaku di India sehingga memaksa negara itu menghentikan eksport beras putih bukan basmati.
Keputusan itu secara tidak langsung menyebabkan harga beras global mencanak naik, paling tinggi dalam tempoh 15 tahun.
“Langkah India itu memberikan peluang dan faedah kepada pengeluar beras Thailand serta Vietnam untuk memenuhi keperluan beras global.
“Boleh dikatakan Thailand dan Vietnam merupakan pemenang utama dalam perlumbaan ini,” kata Deepak S Moorthy, pakar sistem pemakanan McKinsey & Company.
Harga satu tan beras putih berkualiti tinggi dari Thailand naik dari AS$520 (RM2,441) pada pertengahan Julai sehingga AS$637 (RM2,990) menjelang akhir bulan Ogos.
Trend yang sama berlaku di Vietnam, menyaksikan harga berasnya meningkat secara signifikan.
Selain itu, kedua-dua negara merekodkan peningkatan eksport beras dalam tempoh lapan bulan pertama berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Thailand mencatatkan peningkatan sebanyak 12 peratus, manakala Vietnam pula 20 peratus.
Indonesia menjadi pembeli terbesar beras dari Thailand, manakala Filipina pula mendapatkan bekalan berasnya dari Vietnam.
SEKAT BERAS
Kekurangan stok global semakin meruncing apabila Myanmar pada bulan lalu mengumumkan ia juga akan mengehadkan eksport berasnya sehingga pertengahan Oktober bagi mengawal harga domestik.
Keadaan itu menyebabkan pembekal beras di negara-negara Asia Tenggara menyekat penjualan beras bagi menunggu kata akhir dari India mengenai proses eksport berasnya.
PERUBAHAN IKLIM
Ketika banyak pengusaha beras cuba mengambil kesempatan daripada kenaikan harga beras global, India sendiri berdepan dengan bekalan makanan yang terhad.
Fenomena El Nino menyebabkan pengeluaran beras di negara itu terjejas teruk dan jika tiada langkah segera diambil, pengeluarannya dijangka menurun sehingga 20 peratus pada 2050 dan 47 peratus pada 2080.
Organisasi Meteorologi Dunia (WMO) menyatakan El Nino kebiasaannya berlangsung antara sembilan hingga 12 bulan dan kesannya lama.