LONDON: Satu kajian mendedahkan golongan bapa mengambil masa selama dua tahun untuk bahagia dalam perkahwinan selepas menimang cahaya mata pertama.
Bagaimanapun, pasukan penyelidik mendapati bapa yang menimang anak kedua melaporkan bahagia, dengan hubungan kekeluargaan bertambah baik selepas dua bulan.
Lapor Daily Mail, kajian itu membabitkan tinjauan terhadap 606 lelaki warga Jerman yang mempunyai anak.
Jumlah itu terdiri daripada 500 lelaki yang menimang cahaya mata pertama dan 106 lagi menjadi bapa buat kali kedua.
Data yang dikumpulkan antara tahun 2007 dan 2020, merupakan sebahagian projek Dresden Study of Parenting, Work, and Mental Health (DREAM) yang berterusan.
Kajian itu antara lain menganalisis aspek parenthood dari sudut pandangan lelaki.
Tinjauan itu meneliti tahap kebahagiaan dalam perkahwinan dua bulan sebelum dan selepas kelahiran anak, selain 14 bulan dan dua tahun selepas anak dilahirkan.
Secara keseluruhannya, kajian mendedahkan kelahiran anak mempunyai kaitan dengan penurunan tahap kebahagiaan perkahwinan dalam kalangan bapa.
Kajian itu diketuai oleh penyelidik dari Technische Universität Dresden di Jerman, Judith T. Mack dan Lena Brunke.
Sementara itu, Mack dan Brunke berpandangan keluarga bahagia menjadi antara matlamat hidup individu yang paling penting.
“Sama seperti para ibu, golongan bapa yang menimang anak pertama mengalami kemerosotan dalam kebahagiaan semasa peralihan kepada parenthood berbanding yang mendapat anak kedua.
“Malah, pasangan suami isteri yang menjadi ibu bapa buat kali pertama perlu bersedia untuk perubahan dijangkakan dalam hubungan mereka,” katanya.
Kertas kerja kedua-dua penyelidik itu diterbitkan dalam jurnal PLOS One.