Bangkai tragedi pesawat 60 tahun lalu bakal dibersihkan - Utusan Malaysia

Bangkai tragedi pesawat 60 tahun lalu bakal dibersihkan

THOMAS Dulac menunjukkan bangkai pesawat Gatwick yang ditinggalkan lebih 60 tahun di kawasan Gunung Canigou di selatan Perancis.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Bangkai pesawat Gatwick yang terhempas dan mengorbankan 34 pelancong Britain dilaporkan masih berselerak di kawasan pergunungan Pyrenees di Perancis lebih 60 tahun selepas tragedi itu berlaku.

Serpihan kabin penumpang, enjin dan tangki bahan api ditinggalkan di ketinggian 2,200 meter di atas lereng Gunung Canigou selepas insiden kemalangan ngeri itu berlaku pada Oktober 1961.

Kesemua 34 penumpang pesawat termasuk juruterbang, pembantu juruterbang dan seorang pramugari terbunuh apabila penerbangan dari Gatwick di ke Perpignan merempuh gunung selepas dipukul angin dan hujan.

Minggu hadapan, sepasukan 40 sukarelawan Perancis akhirnya akan memulakan kerja membersihkan serpihan bangkai pesawat itu.

Lapor Daily Mail, plak peringatan pertama bagi memperingati tragedi menyayat hati itu akan dibina dan Pegawai Kedutaan Britian dijangka menghadiri majlis perasmiannya tahun depan.

Nama mereka yang maut juga akan diukir pada monumen berasingan di lokasi perlindungan gunung berhampiran yang dikendalikan oleh penduduk tempatan, Thomas Dulac.

“Kami mahu membina tugu peringatan yang lebih sesuai untuk mengenang mangsa yang terbunuh dalam tragedi itu. Kami akan mengeluarkan semua serpihan logam dan hanya menyimpan sebahagian yang penting di muzium penerbangan tempatan.

“Ada yang mencadangkan kami meninggalkannya di sini tetapi saya rasa lebih elok untuk membersihkan gunung itu dan memastikannya dalam keadaan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” kata Dulac.

Sementara itu, sukarelawan penyelamat gunung, Jean-Pierre Bobo, 82, yang terlibat mengeluarkan mangsa dan menyaksikan sendiri kesan dahsyat kemalangan itu turut gembira dengan aktviti pembersihan serta pembinaan tugu peringatan berkenaan.

“Saya dan rakan saya tidak dapat berhenti menangis melihat keadaan mayat mangsa yang bergelimpangan di celah-celah gunung yang curam. Saya masih ingat usaha menyelamat yang kami lakukan juga sangat sukar.

“Apa yang saya lihat kemudian mengubah hidup saya. Saya lega akhirnya ada monumen di atas sana untuk menghormati mangsa tragedi itu. Saya tahu ramai pejalan kaki yang melewatinya turut mencuri dan membawa pulang cebisan dari serpihan itu,” kata Bobo.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya