HALMAHERA SELATAN: Insiden pengantin ditinggalkan pasangan selepas akad nikah merupakan ‘perkara biasa’ berlaku di Indonesia, malah sering dilaporkan dalam media tempatan.
Namun, kes terbaharu yang berlaku di Obi, Halmahera Selatan mendapat perhatian ramai apabila seorang wanita dinikahkan dengan bakal bapa mentuanya selepas bakal suaminya melarikan diri.
Kes itu berlaku selepas bakal suaminya melarikan diri sebelum akad nikah bermula.
Bagi menutup malu, bapanya membuat keputusan untuk berkahwin dengan wanita tersebut.
Menerusi video yang tular, kelihatan seorang lelaki ngenakan pakain batik berlengan panjang yang duduk berdepan dengan individu yang didakwa sebagai bapa lelaki tersebut.
Video itu kemudiannya diteruskan dengan proses nikah antara bapa lelaki dan wanita yang sepatutnya menjadi menantunya.
Memetik TribunNews, abang kepada wanita itu berkata, keluarganya datang ke lokasi akad nikah sebaik sahaja mendapat perkhabaran tersebut.
“Para tetamu sudah datang untuk memenuhi undangan pernikahan.
“Keluarga lelaki itu kemudian memberitahu yang anak mereka hilang tanpa dapat dikesan,” katanya sambil memberitahu yang si adik telah menjalin hubungan cinta yang agak lama dengan pilihan hatinya.
Tambahnya, dia dan keluarga mengalami kerugian sehingga 25 juta rupiah (RM7,630) menguruskan persiapan majlis pernikahan itu.
Dia juga berasa dipergunakan dan malu dengan insiden yang berlaku.