Azerbaijan dakwa kembali kuasai Nagorno-Karabakh selepas Armenia setuju gencatan senjata - Utusan Malaysia

Azerbaijan dakwa kembali kuasai Nagorno-Karabakh selepas Armenia setuju gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKU: Azerbaijan mendakwa kembali menguasai Nagorno-Karabakh semalam selepas beberapa dekad dirampas, apabila pemberontak Armenia bersetuju meletak senjata susulan operasi ketenteraan yang dikatakan mengorbankan 200 orang.

Kejatuhan kumpulan pemberontak yang menakjubkan itu mewakili kemenangan besar buat Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, dalam usahanya mengembalikan wilayah majoriti Armenia itu kembali ke bawah kawalan Baku.

Sejak keruntuhan Kesatuan Soviet, Armenia dan Azerbaijan bertempur sebanyak dua kali di kawasan pergunungan.

Konflik selama bertahun-tahun itu membawa penderitaan kepada kedua-dua pihak dan wujud kebimbangan mengenai krisis pelarian baharu apabila penduduk Armenia-Karabakh khuatir dipaksa keluar.

Sehari selepas Azerbaijan melancarkan operasi ketenteraannya, Baku dan pihak berkuasa etnik Armenia di Karabakh mengumumkan gencatan senjata yang diusahakan pasukan pengaman Russia.

“Azerbaijan memulihkan kedaulatannya hasil daripada langkah anti-pengganas yang berjaya di Karabakh,” kata Aliyev dalam ucapan di televisyen.

Beliau mendakwa kebanyakan tentera Armenia di wilayah itu dimusnahkan dan berkata pengunduran tentera pemisah sudah pun bermula.

“Serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 200 terbunuh dan lebih 400 cedera,” kata pegawai pemisah Nagorno-Karabakh, Gegham Stepanyan.

Lewat Rabu, Kementerian Pertahanan Armenia berkata, Azerbaijan menembak kedudukannya di sepanjang sempadan antara dua musuh ketat itu, di mana pertempuran sempadan seumpamanya kerap berlaku.

Di bawah gencatan senjata itu, puak pemberontak berkata mereka bersetuju mengundurkan sepenuhnya tenteranya dan Armenia akan menarik keluar mana-mana pasukan yang ada di rantau itu.

Kementerian Pertahanan Azerbaijan berkata, semua senjata dan persenjataan berat harus diserahkan, di bawah pengawasan 2,000 pasukan pengaman Russia di darat.

Kedua-dua pihak berkata, rundingan mengenai menggabungkan semula wilayah yang berpecah kembali menyertai Azerbaijan akan dilakukan pada hari ini di bandar Yevlakh.

Sementara itu, Presiden Russia Vladimir Putin berkata, pasukan pengaman Moscow akan menjadi pengantara rundingan itu, selaku broker kuasa serantau tradisional. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya