JAKARTA: Autograph Tower yang terletak dalam kawasan Kompleks Thamrin Nine di Jakarta Pusat, secara rasmi dinobatkan sebagai bangunan pencakar langit tertinggi di Indonesia oleh Muzium Rekod Indonesia (Muri).
Pengiktirafan itu diberi kepada menara tersebut berdasarkan kriteria yang dinilai pakar.
Menerusi pengiktirafan itu, Autograph Tower yang dibangunkan PT Putragaya Wahana mengalahkan bangunan Gama Tower milik konglomerat bersaudara, Ganda dan Martua Sitorus sebagai bangunan tertinggi di negara ini.
Autograph Tower mempunyai ketinggian 385 meter, manakala Gama Tower pula setinggi 288 meter.
Ketinggian Autograph adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding Monumen Nasional (Monas) yang diiktiraf sebagai ikon Jakarta.
Sebelum ini, PT Putragaya juga membina Luminary Tower setinggi 305 meter di kawasan sekitar Autograph, sekali gus menjadi bangunan kedua tertinggi di negara ini.
Dalam pada itu, Presiden Pengarah PT Putragaya Wahana, Alvin Gozali menzahirkan rasa gembira dengan pengiktirafan tersebut.
Katanya, kedua-dua bangunan itu merupakan ‘supertall’ pertama di Indonesia.
“Bangunan supertall diklasifikasikan dengan ketinggian melebihi 300 meter,” ujarnya.