ASEAN: Joko Widodo gesa pemimpin jangan wujudkan 'perang baharu' - Utusan Malaysia

ASEAN: Joko Widodo gesa pemimpin jangan wujudkan ‘perang baharu’

JOKO WIDODO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA : Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris dan Perdana Menteri China, Li Qiang, semalam bertemu dengan pemimpin Asia sambil membawa visi mereka untuk keselamatan global serta persaingan yang semakin meningkat.

Justeru, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) selaku pengerusi ASEAN kali ini, sebaliknya menggesa pemimpin untuk mengukuhkan kerjasama dan dialog serta tidak mencetuskan perpecahan atau perang baharu.

Komennya dibuat sehari selepas Li menggesa blok itu untuk menentang langkah yang boleh membawa kepada Perang Dingin baharu, dengan secara tidak langsung merujuk kepada pembabitan AS.

Sementara itu, Harris berusaha untuk menunjukkan komitmen kekal AS terhadap rantau ASEAN selepas ketua blok 10 negara itu menyatakan kekecewaan atas ketiadaan Presiden AS, Joe Biden.

Jokowi memberi isyarat tegas untuk dialog dan bukannya persaingan di Sidang Kemuncak Asia Timur yang dihadiri oleh Harris dan Li.

“Kami semua yang duduk di dalam bilik ini mempunyai tanggungjawab yang sama untuk mewujudkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

“Kami mempunyai tanggungjawab yang sama untuk tidak mencipta konflik baharu, tidak mewujudkan ketegangan baharu atau peperangan baharu,” katanya.

Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto, yang mungkin akan bertanding pada pilihan raya presiden tahun depan, berkata negara itu tidak mahu terlibat dalam sebarang konflik termasuk antara AS dan China.

“Pendirian kami, kedudukan kami sentiasa bebas dan aktif, tidak memilih mana-mana pihak.

“Kami tidak mahu terlibat dalam apa-apa (konflik). Kami adalah kawan semua negara,” katanya.

Sementara itu, Jokowi menegaskan Indonesia juga mempunyai hubungan baik dengan Russia dan ingin mengekalkannya, sama seperti dengan China, walaupun sebahagian besar anggota ASEAN terbabit dalam konflik dengan China di Laut China Selatan.

“Kita mesti mampu menjadikan lautan sebagai lautan kerjasama, bukan lautan konfrontasi dan mesti terus mengekalkan kestabilan.

“Konsep ini bukan saja perlu dipertahankan di Laut China Selatan, sebaliknya potensi Lautan Hindi yang menghubungkan 33 negara, 2.9 bilion penduduk, dan menjelang 2025, 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia, juga perlu diambil kira.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya