LONDON: Rakaman aksi lucu seorang pegawai polis wanita mengejar pencuri di kawasan perumahan Portsmouth menggunakan basikal kecil yang dipinjam dari seorang budak lelaki mencuit hati ramai warga net baru-baru ini.
Lapor Daily Mail, pegawa polis, Harriett Taylor sedang mengejar seorang lelaki berusia 47 tahun yang disyaki mencuri di kawasan pusat bandar Hampshire apabila seorang budak lelaki yang menaiki basikal kebetulan lalu di situ.
Polis berkata, awalnya budak lelaki yang hanya dikenali sebagai Jake agak terkejut selepas didekati Taylor namun membenarkan pegawai polis itu meminjam basikal birunya untuk mengejar pencuri itu.
Selepas lelaki yang dikehendaki berjaya diberkas, Taylor memulangkan basikal itu kepada Jake dan bergambar dengannya.
Gambar Jake dan Taylor serta rakaman aksi pegawai itu mengayuh basikal untuk mengejar pencuri tersebut dimuat naik di laman sosial rasmi Polis Gosport.
“Jika anda fikir anda ternampak Taylor mengayuh basikal kanak-kanak di pusat bandar awal petang ini, kami boleh mengesahkan bahawa itu kejadian sebenar dan mata anda tidak menipu.
“Ia adalah basikal yang baru dipinjamnya daripada seorang budak lelaki di kawasan White Lion Walk, dan basikal itu berjaya membantu Taylor mengejar penjenayah yang dikehendaki kerana jenayah pecah rumah.
“Terima kasih banyak untuk sifat bermurah hati meminjamkan basikal anda, wahai anak muda. Anda, dan basikal anda sangat membantu kami,” kata jurucakap polis Gosport.
Kisah itu mendapat pelbagai reaksi warga net yang turut teruja dengan insiden tersebut.
“Seakan adegan dari filem aksi Sweeney. Kisah menarik ini pasti akan didengari selama berminggu-minggu di padang permainan nanti. Tahniah dan syabas kepada kedua-duanya,” kata pengguna media sosial, Jacky Clements.