SUMATERA: Masalah kebakaran hutan di Sumatera Selatan seakan tidak berkesudahan hingga mencetus kemarahan penduduk yang sering dibelenggu asap tebal dan serangan penyakit terutama kepada kanak-kanak.
Walaupun beberapa bahagian di Indonesia memerangi kebakaran tanah dan hutan selama bertahun-tahun hingga menyebabkan jerebu rentas sempadan ke negara jiran seperti Singapura dan Malaysia, tidak ada kebakaran besar direkodkan dalam tempoh empat tahun yang lalu.
Namun tahun ini, kebakaran tanah dan hutan kembali dengan ketara di Sumatera Selatan serta sembilan wilayah lain di Indonesia.
Menurut Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, terdapat 3,788 titik panas dari awal tahun hingga 5 September, peningkatan empat kali ganda berbanding tahun lalu dalam tempoh sama.
Pihak berkuasa masih belum mengeluarkan data terkini, tetapi Sumatera Selatan dilaporkan mempunyai lebih banyak kawasan panas berbanding wilayah lain sepanjang bulan ini.
PENDUDUK TERTEKAN
Suri rumah Sadriah, 21, yang menjaga anak lelakinya berusia empat bulan terkejut melihat kebakaran tanah tidak sampai 100 meter dari rumahnya di kampung Tanjung Serang di daerah Ogan Komering Ilir awal bulan ini.
Dia terpaksa membawa anaknya dan bergegas ke rumah rakan di kampung lain sementara suaminya berusaha memadamkan api bersama penduduk lain.
“Tiga hari kemudian, saya pulang ke rumah. Tetapi apabila kami tiba, seluruh rumah masih ada asap, jadi kami terpaksa berkurung di dalam bilik.
“Bayi saya sentiasa batuk dan saya sangat tertekan dengan keadaan ini,” katanya.
Di kampung Soak Batok, di wilayah jiran Ogan Ilir, petani Romli, 55, sibuk memadamkan kebakaran menggunakan beg galas penyembur racun perosak yang diisi dengan air.
Isterinya Samsiah, cuba membantu memadamkan kebakaran yang menyambar di kawasan berhampiran kediaman mereka minggu lalu dengan menarik hos di kampung seberang.
“Kebakaran hanya beberapa meter dari tanah kami menanam pokok kelapa sawit. Saya bimbang api mungkin menjalar ke dalam rumah dan tanah kami.
“Saya terketar-ketar apabila melihat api. Suami saya segera menyembur air menggunakan apa sahaja alat yang kami ada, jadi saya membantunya,” kata Samsiah.
Penduduk kampung berusaha mendapatkan bantuan dengan menghubungi bomba tempatan ketika itu, tetapi lambat mendapat bantuan kerana lokasi kampung mereka yang agak terpencil.
Mujur anak lelaki Romli dan Samsiah bekerja di sebuah syarikat berhampiran yang segera menghantar tangki air untuk memadamkan kebakaran tersebut.
KERJA TANGAN MANUSIA
“Di sini, di Ogan Komering Ilir, 99 peratus kebakaran hutan dan tanah berpunca daripada manusia. Cuaca kering hanyalah faktor tambahan,” kata Ketua Bomba Ogan Komering Ilir, Muhamad.
Individu tidak bertanggungjawab dilihat sering memulakan kebakaran dengan membuang puntung rokok ke kawasan tanah atau hutan selain memasang ubat nyamuk yang kemudian ditiup angin hingga mengakibatkan kebakaran.
Jelas beliau, kebakaran di kawasan berkenaan yang bermula sejak Ogos mungkin berlarutan sehingga November kerana kekurangan dan tanah di wilayah itu kebanyakannya adalah tanah gambut yang amat sukar untuk dipadamkan.
“Tanah gambut mempunyai lapisan tumbuh-tumbuhan separa reput dan bahan organik jauh di bawah permukaan, yang boleh terus membara selama berbulan-bulan jika tidak dipadamkan dengan betul.
“Cabaran lain ialah akses ke kawasan panas kerana banyak kebakaran berada di tempat terpencil. Kedua ialah kekurangan akses kepada air kerana kebakaran biasanya berlaku di kawasan kering,” jelas Muhamad.-AGENSI